EPISOD pertikaian antara Kesatuan Eropah (EU) dan pengeluar vaksin masih berterusan dengan kali ini presiden Suruhanjaya Eropah mengkritik AstraZeneca kerana didakwa menjadi punca kelewatan kempen vaksin blok itu.

Sehubungan itu, Ursula Von Der Leyen memberi amaran bahawa EU akan mempertimbang untuk mengenakan larangan eksport ke atas syarikat berkenaan.

Amaran itu dikeluarkan bagi memastikan AstraZeneca berjaya memenuhi komitmennya dengan EU terlebih dahulu.

"AstraZeneca malangnya tidak mengeluarkan dan menghantar vaksin yang cukup, ia memperlahankan kempen vaksin kami.

"Pada suku pertama, AstraZeneca sepatutnya menghantar 90 juta dos vaksin. Mereka mengurangkan bilangan ini kepada 40 juta dos.

"Kini mereka jangkakan AstraZeneca akan menghantar 30 juta dos pada hujung suku pertama," katanya.

Di sebalik kritikan, AstraZeneca juga terpaksa berdepan dengan laporan berkaitan kesan sampingan vaksin keluarannya yang mana wujud dakwaan ia menyebabkan gumpalan darah kepada penerima vaksin.

Namun sehingga kini tiada bukti saintifik mengaitkan masalah itu dengan AstraZeneca yang merupakan salah satu daripada vaksin yang digunakan di Eropah.