BANGKOK: Thailand memulakan kempen vaksinasi COVID-19 dengan semua menteri Kabinet, pegawai kesihatan dan kumpulan perubatan antara yang pertama menerima suntikan vaksin tersebut.

Dos pertama vaksin yang dihasilkan Sinovac Biotech dari China diberikan kepada wakil Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul yang juga Menteri Kesihatan negara tersebut.

Program vaksinasi itu diadakan pada Ahad di sebuah institusi penyakit berjangkit di pinggiran Bangkok.

"Saya berharap vaksinasi itu akan mengelakkan orang ramai daripada terkena jangkitan virus COVID-19 sekali gus menjadikan Thailand kembali normal secepat mungkin," kata Anutin yang dipetik laporan  Reuters.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha, 66, turut menghadiri acara berkenaan, namun beliau tidak menerima suntikan vaksin berikutan usianya berada di luar lingkungan penerima iaitu antara 19 hingga 59 tahun.

Thailand sebelum ini menerima sebanyak 200,000 dos pertama vaksin Sinovac manakala 117,00 dos vaksin AstraZeneca diimport minggu ini.

Vaksin Sinovac telah diedarkan ke 13 wilayah berisiko tinggi, yang akan mula menyuntik profesional dan sukarelawan barisan depan.

Dalam pada itu, menurut kenyataan syarikat vaksin AstraZeneca, vaksin yang dihasilkan pihaknya dijangka akan mula digunakan pada minggu kedua Mac ini selepas melalui ujian kawalan kualiti.

Thailand dijangka mengambil 1.8 juta dos tambahan vaksin Sinovac pada Mac dan April depan.

Kempen besar-besaran untuk menguruskan 10 juta dos sebulan akan dimulai pada Jun, dengan 61 juta suntikan vaksin AstraZeneca dihasilkan oleh firma tempatan Siam Bioscience.