AS kenakan sekatan terhadap Presiden Colombia susulan ketegangan hubungan dua hala

Amerika Syarikat mendakwa Presiden Petro telah membiarkan kartel dadah berkembang dan enggan menghentikan kegiatan itu. - Reuters
WASHINGTON: Pentadbiran Trump pada Jumaat mengenakan sekatan terhadap Presiden Colombia Gustavo Petro susulan hubungan dua hala yang semakin tegang, dengan menuduh beliau membiarkan kartel dadah "berkembang pesat," menurut kenyataan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS).
"Presiden Petro telah membiarkan kartel dadah berkembang dan enggan menghentikan kegiatan itu," dakwa Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent dalam kenyataan yang dipetik Xinhua.
Isteri Petro, Veronica Alcocer, anak sulungnya Nicolas Petro serta Menteri Dalam Negeri Colombia, Armando Benedetti turut dituduh memberikan atau cuba memberikan sokongan, barangan atau perkhidmatan kepada Petro.
Susulan sekatan itu, semua harta dan kepentingan mereka yang berada di AS atau dalam kawalan individu AS dibekukan dan mesti dilaporkan kepada Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) di bawah Jabatan Perbendaharaan AS.
"Gustavo Petro disenaraikan hari ini menurut Perintah Eksekutif 14059 kerana terlibat atau cuba terlibat dalam aktiviti atau transaksi yang menyumbang secara material kepada, atau menimbulkan risiko ketara terhadap pengedaran dadah antarabangsa atau cara pengeluarannya," menurut kenyataan itu.
Petro mengesahkan di platform X bahawa beliau dan keluarganya telah dimasukkan dalam senarai OFAC, sambil menambah bahawa peguam AS, Daniel Kovalik akan mewakilinya.
"Berjuang melawan pengedaran dadah selama beberapa dekad membawa kepada tindakan ini daripada sebuah kerajaan yang kita bantu dalam usaha membanteras penggunaan kokain. Ia satu paradoks, tetapi kami tidak akan berundur dan tidak akan tunduk," katanya.
Benedetti pula mengecam tindakan AS di platform X sebagai tindak balas terhadap usaha mempertahankan maruah Colombia dan kesetiaannya kepada Petro, selepas Presiden AS Donald Trump mengumumkan pada Ahad bahawa Washington akan menghentikan bantuan kepada Colombia serta memperkenalkan kadar tarif baharu.
Sebagai tindak balas, Kementerian Luar Colombia menyifatkan tuduhan itu sebagai "tindakan yang amat serius dan mencemarkan maruah Presiden," sambil mengecam Washington kerana cuba campur tangan secara haram dalam wilayah Colombia -- satu tindakan yang didakwa melanggar undang-undang dan norma diplomatik antarabangsa.
Minggu lalu, tentera AS melancarkan dua serangan terhadap kapal yang disyaki digunakan untuk pengedaran dadah di timur Lautan Pasifik. Media AS melaporkan serangan itu berlaku berhampiran pantai Pasifik Colombia.
Pentagon dilaporkan menenggelamkan 10 kapal yang didakwa terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak September, termasuk lapan kapal di perairan antarabangsa di Caribbean.
Petro sebelum ini menuduh AS menggunakan dasar antidadah sebagai alasan untuk menghalalkan penggunaan kekerasan di rantau Caribbean bagi menguasai rizab minyak.
Pada September lalu, visa AS beliau dibatalkan selepas menghadiri demonstrasi pro-Palestin dan menyeru tentera AS supaya tidak mematuhi arahan Trump ketika menghadiri sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB di New York.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


