DUNIA

Kenderaan dibakar di pusat bandar LA ketika ketengangan protes memuncak

Astro Awani 09/06/2025 | 02:20 MYT
Penunjuk perasaan membakar sekurang-kurangnya dua kenderaan tanpa pemandu dan merosakkan beberapa lagi. - Foto AP
LOS ANGELES: Ketegangan semakin meningkat di pusat bandar Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) apabila beberapa kenderaan dibakar dalam protes yang berlanjutan selama tiga hari terhadap serbuan imigresen oleh pihak berkuasa persekutuan.

Demonstrasi yang bermula sebagai bantahan terhadap serbuan besar-besaran oleh Immigration and Customs Enforcement (ICE) kini bertukar ganas, dengan penunjuk perasaan membakar sekurang-kurangnya dua kenderaan tanpa pemandu dan merosakkan beberapa lagi.

Menurut laporan, penunjuk perasaan turut menyembur cat anti-Trump dan anti-ICE pada kenderaan sebelum membakarnya.

Presiden Donald Trump telah mengerahkan 2,000 anggota Pengawal Nasional ke Los Angeles bagi menangani protes yang semakin tegang.

Trump mempertahankan tindakan ini dengan menyatakan bahawa pasukan keselamatan akan "memastikan undang-undang dan ketenteraman ditegakkan".

Gabenor California, Gavin Newsom, mengkritik langkah Trump dengan menyifatkannya sebagai "sengaja mencetuskan ketegangan", dan menyeru agar perintah pengerahan tentera ditarik balik.

Demonstrasi semakin memuncak dengan penunjuk perasaan menghalang Lebuhraya 101, menyebabkan gangguan lalu lintas yang besar.

Pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata, peluru getah, dan bom kilat bagi menyuraikan orang ramai.

Dengan ketegangan yang semakin meningkat, masyarakat antarabangsa kini memantau perkembangan di Los Angeles, sementara pemimpin tempatan berusaha mencari jalan penyelesaian bagi meredakan konflik yang semakin meruncing







#protes #kenderaan dibakar #LA #pendatang tanpa dokumen