NEW DELHI: Kerajaan Malaysia telah melakukan yang terbaik dengan melaksanakan langkah betul untuk meningkatkan kesalinghubungan walaupun kedudukan keterhubungan global negara itu merosot kepada ke-26 pada 2022 daripada ke-24 pada 2017, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DHL Express John Pearson.

Mengambil contoh usaha India untuk menambah baik infrastruktur pengangkutannya, beliau berkata Malaysia telah melakukan perkara itu sejak sekian lama untuk memendekkan jarak dan masa perjalanan di negaranya.

"Usaha ini mungkin menarik pelaburan dan memudahkan perniagaan di sana," katanya ketika menjawab soalan Bernama pada majlis pelancaran Laporan Keterkaitan Global DHL 2024 di sini pada Rabu.

Pearson berkata walaupun kedudukan menurun, Malaysia masih mendahului berbanding negara-negara lain.

Beliau berkata Malaysia akan terus berdaya saing pada masa hadapan kerana negara itu merupakan salah satu penerima manfaat strategi "China Plus One" atau "Plus One" atau pun "C+1" iaitu strategi perniagaan untuk mengelak daripada melabur hanya di China tetapi mempelbagaikan perniagaan ke negara lain atau membuat pelaburan dalam pembuatan di negara membangun dan paling pesat berkembang.

Laporan Keterkaitan Global DHL 2024 dikeluarkan bersama oleh Kumpulan DHL dan Stern School of Business, New York University, pada Rabu.

Laporan itu menjejaki cara aliran perdagangan, modal, maklumat dan orang ramai bergerak ke seluruh dunia dan mengukur globalisasi 181 negara dan wilayah.

Menurut laporan itu, pertumbuhan perdagangan memainkan peranan penting dalam meningkatkan hubungan global.

"Bahagian output global yang didagangkan di peringkat antarabangsa kembali ke paras tertinggi pada tahun 2022.

"Selepas melalui tempoh kelembapan pada 2023, pertumbuhan perdagangan dijangka akan meningkat pada 2024," katanya.

Singapura menduduki tempat pertama diikuti oleh Belanda dan Ireland, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

-- BERNAMA