Kerajaan Myanmar didapati bersalah melakukan genosid, jenayah perang dan jenayah menentang kemanusiaan terhadap etnik Rohingya di negara itu.

Tribunal Awam Tetap (PPT) terhadap Myanmar juga mendapati Kerajaan Myanmar berniat melakukan genosid terhadap etnik Kachin dan kumpulan minoriti Islam di negara itu.

Pengerusi panel, Daniel Feierstein dari Argentina berkata keputusan itu dibuat berdasarkan bukti kukuh yang dikemukakan kepada tribunal sepanjang empat hari prosiding.

"Tribunal mencapai kata putus dengan menetapkan bahawa Kerajaan Myanmar dengan niat untuk melakukan genosid terhadap etnik Kachin dan kumpulan etnik Muslim yang lain.

"Pada masa sama, Kerajaan Myanmar juga didapati bersalah melakukan jenayah genosid terhadap etnik Rohingya.

"Selain itu, genosid terhadap Rohingya sedang berlaku pada ketika ini dan mungkin jumlah kematian terhadap jenayah genosid ini akan terus meningkat pada masa akan datang sekiranya tiada langkah diambil untuk menghentikannya.

"Berkenaan kumpulan Muslim lain dan Kachin, walaupun pelaksanaan genosid belum lagi berlaku, Tribunal perlu mengeluarkan amaran yang jelas bahawa penyeksaan, penganiayaan, penindasan serta jenayah menentang kemanusiaan dan jenayah perang boleh menyebabkan berlakunya genosid pada masa akan datang," katanya ketika membacakan hujah penghakiman.

Justeru, tribunal tersebut menggariskan 17 syor yang akan dikemukakan kepada badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dan Komuniti ASEAN dalam tempoh dua minggu dari penghakiman dibuat.

Antara syor yang dikemukakan termasuk langkah penyelesaian melalui gencatan senjata dan mewujudkan zon bebas tentera.

"Memberi hak kerakyatan kepada mereka yang lahir dan membesar di Myanmar termasuk memberi kad pengenalan selain memberi hak sepenuhnya kepada mereka seperti mana warganegara Myanmar yang lain.

"Negara ASEAN digalak berkongsi tanggungjawab berkenaan krisis migrasi dan membuka pintu sempadan kepada pencari suaka etnik Rohingya berdasarkan ASEAN Charter termasuk memberi perlindungan di kem pelarian sehingga Rohingya menerima hak kerakyatan daripada Myanmar," katanya.

Selain Feierstein yang merupakan Pengasas Pusat Penyelidikan Genosid, beliau turut dibantu enam lagi panel iaitu Zulaiha Ismail (Malaysia), Helen Jarvis (Cambodia-Australia), Gill H. Boehringer (Australia), Nursyahbani Katjasungkana (Indonesia), Shadi Sadr (Iran) dan Nello Rossi (Itali).

PPT yang berpangkalan di Rom, Itali memulakan persidangan di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) sejak 18 September lalu di mana prosiding sebelum ini diadakan di London pada Mac 2017.