DUNIA
Kerajaan Thai percaya konflik dengan Kemboja perlu diselesaikan tanpa libatkan ICJ

Thailand percaya isu pertikaian sempadan dan isu wilayah yang telah berlarutan selama beberapa dekad dengan Kemboja harus diselesaikan tanpa melibatkan pihak ketiga.
BANGKOK: Thailand percaya pertikaian sempadan dengan Kemboja dan isu wilayah yang telah berlarutan selama beberapa dekad harus diselesaikan tanpa melibatkan pihak ketiga termasuk Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), menurut kenyataan kerajaan Thailand pada Rabu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Pada 28 Mei, pertempuran tercetus di kawasan pertikaian sempadan antara kedua-dua negara yang mengakibatkan seorang askar Kemboja terbunuh. Kedua-dua pihak saling menuduh mencetuskan konflik yang berlaku di zon neutral yang dipersetujui bersama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Pengukuran dan Penandaan Sempadan.
Pada Isnin, kerajaan Kemboja menyatakan akan membawa pertikaian wilayah dengan Thailand ke ICJ tanpa mengira pendirian Bangkok, dan parlimen negara itu meluluskan keputusan tersebut sebulat suara dalam sidang bersama kedua-dua dewan.
"Berhubung cadangan Kemboja untuk membawa isu itu ke mekanisme kehakiman atau pihak ketiga, Thailand sebagai negara jiran komited untuk menyelesaikan isu dua hala tersebut melalui cara damai berdasarkan undang-undang antarabangsa, perjanjian dan peraturan berkaitan... serta bukti sokongan termasuk imej satelit. Thailand bersedia untuk berunding dengan Kemboja melalui mekanisme dua hala sedia ada," menurut kenyataan kerajaan itu.Kerajaan Thailand turut memaklumkan bahawa Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC) yang ditubuhkan bagi membincangkan pengukuran dan penandaan sempadan akan mengadakan mesyuarat pada 14 Jun seperti dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Pada Selasa, tentera Thailand berkata pasukan bersenjata berat Kemboja dikesan menghampiri sempadan.
Angkatan tentera Kemboja pula memuat naik gambar dan video di media sosial yang menunjukkan mereka menembak jatuh dan memintas sebuah dron peninjau milik tentera Thailand. Bagaimanapun, tentera Thailand menafikan bahawa dron itu milik mereka dan menjelaskan mereka tidak perlu menggunakan dron untuk meninjau wilayah Kemboja kerana telah memperoleh semua maklumat melalui akaun media sosial rasmi tentera Kemboja.
Banyak insiden pertempuran telah berlaku di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja, yang masih mempunyai beberapa kawasan pertikaian, dan proses penandaan sempadan telah menjadi topik rundingan jangka panjang antara kedua-dua negara jiran itu. Meskipun ketegangan berterusan, semua pintu sempadan kekal dibuka untuk pergerakan rakyat dan perdagangan rentas sempadan dalam kedua-dua arah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami