Selepas hampir tiga tahun melalui proses rundingan yang sukar, kerajaan Thailand dan kumpulan militan di bahagian selatan negara ini bakal mencipta kejayaan pertama mereka.

Kedua-dua pihak dilihat semakin menghampiri pemeteraian perjanjian bersejarah mengenai penubuhan zon keselamatan di selatan Thailand, yang akan diputuskan pada rundingan berikutnya di Malaysia akhir bulan ini.

"Kami telah bersetuju mengenai prinsip zon keselamatan itu dan kami akan membincangkan tentangnya secara terperinci bagi memastikan kedua-dua pihak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan,"kata ketua panel damai kerajaan Thailand Jeneral Aksara Kerdphol kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata penubuhan zon keselamatan pertama di selatan Thailand merupakan satu pencapaian penting kerana ia membuka laluan kepada penubuhan zon bebas keganasan seumpamanya di seluruh selatan Thailand pada masa depan.

Penubuhan lebih banyak zon keselamatan di wilayah itu juga dapat mengurangkan keganasan di selatan Thailand, katanya.

Aksara, yang juga bekas jeneral kanan pasukan tentera Thailand, berkata zon keselamatan itu akan menyumbang kepada matlamat kerajaan mewujudkan keamanan di selatan Thailand dan mengakhiri persengketaan yang berlarutan sejak sekian lama.

"Matlamat rundingan damai ini adalah untuk menghentikan keganasan," katanya sambil memberitahu beliau pasti gembira sekiranya dapat mengurangkan insiden keganasan di kawasan bergolak itu.

Menurutnya rundingan damai itu bukanlah hanya bagi kedua-dua pihak mengadakan perbincangan sebaliknya demi pihak berkepentingan dalam keseluruhan proses berkenaan iaitu rakyat tempatan.

Kerajaan Thailand di bawah kepimpinan Perdana Menteri Jeneral Prayut Chan-o-cha mengadakan rundingan damai itu dengan Mara Patani (Majlis Perundingan Patani), badan induk yang mewakili beberapa kumpulan militan selatan Thailand, dengan Malaysia memainkan peranan penting sebagai fasilitator sejak dari awal rundingan dialog itu.

Dalam kenyataan kepada Bernama beberapa hari lepas, Mara Patani menyebut tentang memeterai perjanjian bersejarah dengan kerajaan Thailand bagi mengukuhkan zon keselamatan, sekiranya semua mengikut perancangan.

Jurucakapnya Dr Abu Hafez al-Hakim berkata sekumpulan perunding daripada kerajaan dan Mara Patani telah menamatkan perbincangan mereka mengenai perincian teknikal baru-baru ini.

"Kedua-dua pasukan teknikal itu telah melengkapkan perbincangan mengenai Rangka Umum pelaksanaan zon keselamatan. Ia akan dibawa ke mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama-Proses Dialog Damai (JWG-PDP) akhir bulan ini," katanya.

Beliau berkata kedua-dua pihak mungkin mengeluarkan kenyataan bersama bagi mengumumkan perjanjian bersejarah mereka mengenai zon keselamatan pada akhir mesyuarat itu.

Konflik bersenjata sejak sekian lama membabitkan pasukan keselamatan Thailand dan kumpulan militan di selatan negara itu telah mengorbankan 6,000 nyawa termasuk orang awam, kata pemerhati.

Konflik itu turut melumpuhkan potensi ekonomi wilayah berkenaan, yang lebih dikenali sebagai pengeluar utama komoditi pertanian terutamanya getah dan produk getah.

-- BERNAMA