Skip to main content

Malaysia

PGA rampas 'Macaw' dan 'Amazon' bernilai RM100,000 di sempadan Kelantan-Thailand

PGA RAMPAS_pga briged tenggara
Ahmad Radzi berkata, kes diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). - Gambar PGA Briged Tenggara

KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas empat ekor burung eksotik bernilai kira-kira RM100,000, yang dipercayai diseludup masuk dari Thailand dalam Ops Taring Wawasan Kelantan, berhampiran pangkalan haram Kak Nah di Pengkalan Kubor, Tumpat, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata serbuan dilakukan kira-kira 7 malam oleh Pasukan Tindakan Khas PGA selepas mengesan seorang lelaki sedang memunggah beberapa sangkar di tebing Sungai Golok, di sebelah Malaysia.

“Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek telah melarikan diri dengan menaiki bot ke arah tebing Thailand dan hasil pemeriksaan polis menemukan dua ekor burung spesies Blue and Gold Macaw serta dua ekor burung spesies Blue-fronted Amazon di dalam dua sangkar yang ditinggalkan.

“Burung-burung berkenaan dipercayai dibawa masuk tanpa permit yang sah untuk dijual kepada pembeli tempatan. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM100,200,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Ahmad Radzi berkata pihaknya akan terus mempertingkatkan rondaan dan pemantauan di kawasan sempadan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti penyeludupan hidupan liar.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement