Skip to main content

Dunia

Kerajaan Thailand perkenal tujuh langkah atasi kesan krisis tenaga

81535422434_PetrolPump.jpg
Di Thailand, aktiviti menyorok dan simpanan stok spekulatif telah mengganggu bekalan, dengan kira-kira 86 juta liter bahan api - sekitar 20 peratus melebihi tahap normal - hilang daripada sistem. - Gambar hiasan

BANGKOK: Kerajaan Thailand menggariskan tujuh langkah bagi mengurangkan kesan krisis tenaga, termasuk tambahan 100 baht untuk pemegang kad kebajikan negara dan semakan semula pengurangan cukai eksais bahan api.

Setiausaha Tetap Kewangan, Laworn Saengsanit berkata langkah-langkah itu telah diluluskan dalam mesyuarat khas Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul pada Khamis, bagi membincangkan inisiatif tenaga bertujuan membantu rakyat susulan kenaikan harga bahan api baru-baru ini.

Advertisement

“Kesemua tujuh langkah ini telah diluluskan oleh Kabinet dan perlu dilaksanakan segera bagi memberikan manfaat terbesar kepada orang awam,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Langkah-langkah berkenaan merangkumi semakan semula kemungkinan pengurangan cukai eksais bahan api; peningkatan bantuan kewangan sebanyak 100 baht bagi pemegang kad kebajikan negara daripada 300 kepada 400 baht sebulan; serta sokongan untuk pengusaha pengangkutan termasuk lori, bas dan teksi motosikal.

Inisiatif lain termasuk penyediaan bantuan kos baja kepada petani di bawah program “Bendera Hijau”; pemberian kelulusan kepada sektor perikanan untuk menggunakan diesel B20 bagi mengurangkan kos; pelanjutan tempoh pemeriksaan kontrak bagi kontraktor kerajaan; serta sokongan kecairan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sementara itu, Setiausaha Tetap Tenaga, Prasert Sinsukprasert berkata kerajaan menyedari kebimbangan orang awam bahawa harga bahan api boleh mencecah 50 baht seliter, sambil menyifatkan ia sebagai keputusan yang sukar memandangkan situasi telah meruncing lebih teruk daripada jangkaan.

“Sama ada harga akan mencecah 50 baht seliter bergantung kepada keadaan global. Jika keadaan bertambah baik dan cukai dikurangkan, harga mungkin turun. Walau bagaimanapun, pergerakan harga sama ada naik atau turun tetap boleh berlaku pada masa hadapan.

"Walaupun usaha telah dilakukan untuk mengekalkan kestabilan harga, Dana Bahan Api Minyak tidak lagi mampu menampung kesan itu,” katanya.

Beliau juga berkata aktiviti menyorok dan simpanan stok spekulatif telah mengganggu bekalan, dengan kira-kira 86 juta liter bahan api - sekitar 20 peratus melebihi tahap normal - hilang daripada sistem, dipercayai disimpan untuk kegunaan masa hadapan.

Harga semua jenis bahan api di negara itu meningkat sebanyak enam baht (RM0.73) seliter berkuat kuasa 26 Mac. Tinjauan di stesen minyak Bangchak Corporation pada Khamis menunjukkan harga Gasohol 95 kini mencecah 41.05 baht (RM5.00) seliter, Gasohol 91 pada 40.68 baht (RM4.95), dan Diesel B7 pada 38.94 baht (RM4.74).

-- BERNAMA

Must Watch Video