GERGASI otomotif Jepun Toyota melabur AS$400 juta dalam Joby Aviation – sebuah syarikat pengkomersialan kereta terbang elektrik sesuai jadi pengangkutan udara yang cepat dan senyap pada kos berpatutan.

Pelaburan dalam Joby Aviation bertujuan membuka peluang bagi Toyota berkembang dalam bidang baharu ketika industri pengangkutan menghadapi pelbagai cabaran dan perubahan.

Menurut Presiden Toyota Akio Toyoda, syarikat Toyota sedang menukar arah daripada pembuatan kereta sepenuhnya kepada satu entiti berasas mobiliti.

“Sekian lama pengangkutan udara setakat menjadi sasaran jangka masa panjang bagi Toyota. Pelaburan ini akan mengalihkan tumpuan ke udara pula.

“Melalui usaha baharu ini, Toyota yakin akan menawarkan kebebasan pergerakkan dan keseronokan kepada pelanggan samaada di darat mahupun di udara,” kata Toyoda sejurus selepas pengumuman pelaburan itu pada Rabu.

Joby Aviation yang ditubuhkan pada 2009 sedang membangunkan jentera terbang berkuasa elektrik empat tempat duduk.

Kereta terbang Joby mampu berlepas dan mendarat seperti helikopter mengguna beberapa kipas berputar.

Kereta terbang Joby direka bukan untuk kegunaan individu tetapi untuk tujuan komersial yang memerlukan khidmat seorang juruterbang membawa penumpang.

Mengikut Toyoda, syarikat Toyota berkemampuan menyediakan kepakaran dalam bidang pembuatan, kualiti dan kawalan kos dalam usaha pembangunan dan pengeluaran pesawat keluaran Joby.

Shigeki Tomoyama, Timbalan Presiden eksekutif Toyota dijangka akan menyertai barisan pengarah Joby. Tomoyama akan berperanan menentukan arah strategi, pembangunan dan pengeluaran projek kereta terbang tersebut.

Sebelum ini, Joby telah mewujudkan perkongsian bersama syarikat Uber bertujuan membangunkan perkhidmatan teksi bandar.

Toyota pula ada pembabitan pelaburan dalam syarikat SkyDrive pada satu waktu dahulu bertujuan membina kereta terbang terkecil dunia.