Keringkan empangan demi dapatkan semula telefon bimbit

Agensi
Mei 28, 2023 14:48 MYT
Pam diesel itu berjaya mengosongkan kira-kira dua juta liter (440,000 gelen) air, cukup untuk mengairkan 600 hektar tanah. - Twitter @ramanmann1974
CHHATTISGARH (INDIA): Seorang pegawai kerajaan di India telah digantung tugas selepas dia mengarahkan sebuah empangan dikeringkan bagi mendapatkan semula telefonnya.
Jutaan liter air dikeluarkan dari empangan, selepas telefon milik Rajesh Vishwas terjatuh semasa mengambil swafoto.
Ketika ditemui, telefon itu sudah tidak boleh berfungsi.
Vishwas mendakwa ia mengandungi data sensitif kerajaan dan perlu mendapatkan semula, tetapi dia telah dituduh menyalahgunakan kedudukannya.
Dia yang bekerja sebagai pegawai kawalan kualiti makanan itu menjatuhkan telefon Samsungnya, bernilai kira-kira 100,000 rupee (RM5,500) ke dalam Empangan Kherkatta, di Chhattisgarh, hujung minggu lalu.
Selepas penyelam gagal menemui telefon tersebu, Vishwas membayar dan membawa masuk pam diesel untuk mencari telefon berkenaan.
Vishwas berkata dia mendapat kebenaran lisan daripada seorang pegawai untuk berbuat demikian.
Pam diesel itu berjaya mengosongkan kira-kira dua juta liter (440,000 gelen) air, cukup untuk mengairkan 600 hektar tanah ladang.
'Misi pencarian' tersebut dihentikan apabila diarahkan oleh seorang pegawai dari jabatan sumber air.
"Dia telah digantung tugas sehingga siasatan selesai. Air adalah sumber penting dan ia tidak boleh dibazirkan seperti ini," kata Priyanka Shukla, seorang pegawai daerah Kanker, kepada akhbar The National.
Vishwas menafikan menyalahgunakan kedudukannya, dan berkata bahawa air yang dialirkan adalah dari bahagian empangan yang "tidak dalam keadaan boleh digunakan".
#empangan #India #Chhattisgarh #telefon