DUNIA
Kerja seni batu Orang Asli Australia diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia

Landskap seluas lebih 100,000 hektar di Wilayah Pilbara, 1,200 kilometer di utara Perth, menempatkan lebih sejuta ukiran batu yang dipercayai berusia sehingga 50,000 tahun. - Foto: Murujuga Aboriginal Corporation
CANBERRA: Kerajaan Australia dan pemimpin masyarakat Orang Asli pada Sabtu menyambut baik keputusan Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang menganugerahkan status Tapak Warisan Dunia kepada kawasan seni batu purba di Australia Barat, lapor Xinhua.
Landskap Budaya Murujuga secara rasmi dimasukkan dalam Senarai Warisan Dunia pada Jumaat dalam sesi ke-47 Jawatankuasa Warisan Dunia di Paris, selepas kempen 20 tahun oleh pemimpin Orang Asli tempatan untuk melindungi kawasan berkenaan.
Landskap seluas lebih 100,000 hektar di Wilayah Pilbara, 1,200 kilometer di utara Perth, menempatkan lebih sejuta ukiran batu yang dipercayai berusia sehingga 50,000 tahun -- termasuk gambaran wajah manusia tertua yang diketahui di dunia.
Kerajaan Persekutuan Australia mencalonkan tapak itu secara rasmi untuk penyenaraian pada 2023 susulan kempen selama dua dekad oleh Perbadanan Orang Asli Murujuga (MAC).Menteri Alam Sekitar Murray Watt, yang mengetuai kempen kerajaan untuk meyakinkan 21 negara anggota Jawatankuasa Warisan Dunia bahawa loji industri berdekatan tidak mengancam kawasan berkenaan, menyifatkan pengiktirafan itu pada Sabtu sebagai detik bersejarah bagi Australia.
Dalam kenyataan bersama Pengerusi MAC Peter Hicks dan Menteri Alam Sekitar Australia Barat Matthew Swinbourn, Watt berkata kerajaan persekutuan akan memastikan tapak itu terus dipelihara untuk generasi akan datang.
"Ini satu detik yang amat membanggakan bagi kami. Ia bukan sahaja mengiktiraf usaha gigih MAC dalam memperjuangkan pencalonan ini, tetapi juga pengiktirafan terhadap bagaimana nenek moyang kami telah menguruskan landskap luar biasa ini selama lebih 50,000 tahun. Kami berbangga meneruskan legasi itu," kata Hicks.
Landskap berkenaan kini menjadi Tapak Warisan Dunia ke-21 Australia dan yang kedua diiktiraf kerana nilai budaya Orang Asli.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami