MADRID: Pihak berkuasa di Sepanyol mengesahkan 24 kes cacar monyet pada Jumaat (20 Mei), kebanyakannya di wilayah Madrid dengan majoriti jangkitannya dipercayai daripada aktiviti di sauna.

Reuters melaporkan, pihak berkuasa tempatan sudahpun menutup sementara sauna tersebut.

Jumlah kes keseluruhan di Sepanyol kini mencecah 30 kes, sementara 23 kes lagi disahkan di negara jirannya, Portigal, dengan sembilan kes dikesan pada Jumaat.

Pihak berkuasa Madrid kini berusaha menjejaki kes-kes berkenaan, dipercayai berpunca daripada penularan di sebuah sauna, kata Ketua Kesihatan Wilayah, Enrique Ruiz Escudero.

Istilah ‘sauna’ di Sepanyol lazimnya merujuk kepada pusat perkumpulan yang popular dalam kalangan lelaki gay.

"Jabatan Kesihatan Awam akan menjalankan analisis terperinci untuk mengawal penularan dan memutuskan rantaian jangkitan. Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk menangani perkara ini,” ujarnya.

Wilayah Extremadura mengesahkan kes pertamanya pada petang Jumaat.

Lagi 18 kes yang disahkan kini dalam siasatan di Sepanyol, iaitu 15 di Madrid, dua di Canary Islands dan satu di Andalusia, kata pihak berkuasa kesihatan.

Lebih daripada 100 kes jangkitan virus yang sebelum ini ditemui di Afrika barat dan tengah, kini dilaporkan di Eropah.

Secara umunya ia adalah jangkitan yang sederhana, dengan simptom termasuk demam, sakit kepala dan ruam yang berbintil.

Sejumlah 20 kes telah dikesan di Britain, dengan setakat ini pesakit dan petugas kesihatan diberikan vaksin cacar biasa.

Agensi Keselamatan Kesihatan UK berkata, terdapat sebahagian daripada kes yang dilaporkan di Britain dan Eropah melibatkan lelaki gay dan biseksual.