KATHMANDU: Denggi merebak di seluruh Nepal, dengan pihak berkuasa kesihatan memberi amaran kes mungkin terus meningkat ketika dan selepas musim monsun, sempena sambutan Hari Nyamuk Sedunia pada Khamis, lapor Xinhua.
Menurut analisis terkini Bahagian Epidemiologi dan Kawalan Penyakit (EDCD) di bawah Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Nepal merekodkan 2,844 kes denggi di 74 daripada 77 daerah antara 1 Jan dan 15 Ogos, menunjukkan jangkitan kini dilaporkan di hampir semua daerah.
Wilayah Gandaki di barat Nepal merekodkan jumlah kes tertinggi sebanyak 1,010, diikuti Koshi dengan 674, Lumbini (435) dan Bagmati (427).
Sudurpaschim merekodkan 122 kes manakala Madhesh dan Karnali masing-masing mencatatkan 88 kes. Pihak berkuasa setakat ini mengesahkan dua kematian berkaitan denggi pada 2026.
EDCD menjalankan penilaian situasi denggi setiap dua minggu serta mengeluarkan cadangan pencegahan dan kawalan di kawasan yang melaporkan jumlah jangkitan lebih tinggi.
Ia turut melancarkan kempen kesedaran denggi selama tiga bulan dari pertengahan Julai hingga pertengahan Oktober, dengan tumpuan kepada pemantauan berkala dan penghapusan tempat pembiakan nyamuk.
Kempen itu bertepatan dengan sambutan Hari Nyamuk Sedunia pada 20 Ogos, yang tahun ini disambut di Nepal dengan tema “Gigitan Kecil, Cabaran Besar.”
Sambutan itu berlangsung ketika penyakit bawaan nyamuk terus menjadi cabaran kesihatan awam yang semakin meningkat di Nepal.
Lebih 3,500 spesies nyamuk dikenal pasti di seluruh dunia manakala 168 spesies setakat ini dikenal pasti di Nepal.
Pihak berkuasa kesihatan menggesa orang ramai agar terus berwaspada sepanjang musim monsun dan pascamonsun, apabila keadaan persekitaran boleh menggalakkan pembiakan nyamuk.
Antara langkah pencegahan utama yang digalakkan melalui kempen itu ialah menghapuskan air bertakung, membersihkan bekas air dan kawasan sekeliling secara berkala serta mengambil langkah bagi mengelakkan nyamuk.
-- BERNAMA-XINHUA