Ringkasan AI
- KPWKM menyasarkan pembentangan Rang Undang-Undang khusus berkaitan gelandangan menjelang 2028 untuk menangani isu tersebut secara menyeluruh.
- Usaha merangka perundangan masih di peringkat awal dengan kajian terperinci sedang dijalankan oleh kementerian.
- KPWKM bekerjasama dengan DBKL, PDRM dan JIM dalam operasi bersepadu menangani isu gelandangan dan peminta sedekah warga asing.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU), khusus berkaitan gelandangan menjelang 2028 bagi menangani permasalahan golongan itu secara lebih menyeluruh dan berkesan.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata pada masa ini, usaha merangka perundangan itu masih pada peringkat permulaan, dengan kementerian sedang giat menjalankan kajian terperinci mengenainya.
“Insya-Allah, mungkin dalam tempoh dua tahun lagi kita ada satu RUU yang akan dibentangkan mengenai gelandangan ini.
“Ini baru hendak mula dan kita sedang melaksanakan kajian berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Santai KASIH KPWKM Bersama-sama Media di Bangunan Sultan Abdul Samad, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Maziah Che Yusoff.
Mengulas lanjut mengenai kebanjiran golongan gelandangan dan peminta sedekah warga asing di ibu kota serta seluruh negara, Nancy menegaskan isu berkenaan memerlukan kerjasama rentas agensi dan bukan terletak di bawah tanggungjawab satu kementerian sahaja.
Beliau berkata KPWKM sentiasa melaksanakan operasi bersepadu secara turun padang bersama-sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Bila kami turun padang, kita bergerak bersama-sama dengan DBKL, polis dan imigresen bagi memastikan setiap agensi dan kementerian dapat menangani isu-isu di bawah bidang kuasa masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Nancy turut menzahirkan penghargaan kepada pengamal media yang disifatkan sebagai jambatan penting dalam menyampaikan maklumat terkini mengenai dasar, perkhidmatan serta undang-undang baharu kementerian kepada rakyat.
“Kerjasama erat antara KPWKM dan pihak media, mewujudkan situasi menang-menang yang bukan sahaja membantu kementerian, malah memberi manfaat besar kepada masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.
Pada majlis itu, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) turut menerima Penghargaan Media atas komitmen berterusan mengangkat suara kumpulan sasar KPWKM, yang disampaikan oleh Nancy kepada Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Bernama Mohd Haikal Mohd Isa.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan simbolik Kempen KPWKM kepada Timbalan Presiden Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) Nor Hasliza Abdullah, yang juga Ketua Penyunting Meja Penyuntingan Bahasa Inggeris Bernama.
-- BERNAMA