Kes positif COVID-19 di Indonesia berterusan meningkat kepada 88,214 kes, iaitu tambahan 1,693 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini (Isnin), sebanyak 96 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini 4,239 orang.

"Sebanyak 36,380 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19," katanya dalam sidang media hariannya yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,433 orang, diikuti Jakarta (745), Jawa Tengah (359), Sulawesi Selatan (281) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Provinsi Jawa Timur juga mencatatkan jumlah kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 18,545 kes, diikuti Jakarta (16,899 kes) dan selebihnya di 32 wilayah lain di Indonesia.

-- BERNAMA