Kes positif COVID-19 di Indonesia berterusan meningkat kepada 151,498 kes, manakala 75,457 lagi pesakit masih dalam pemantauan.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 2,090 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam di republik itu.

"Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 94 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian keseluruhan kini meningkat kepada 6,594 orang.

"Bagi tempoh 24 jam itu, provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kes positif baharu tertinggi iaitu 588 kes, dengan 17 lagi kematian," mengikut laman sesawang tersebut.

Provinsi Jakarta kini mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 32,855 kes, diikuti Jawa Timur (30,036) dan selebihnya di 32 provinsi yang lain.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 2,153 orang, diikuti Jakarta (1,080), Jawa Tengah (834), Sulawesi Selatan (348) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

-- BERNAMA