Malaysia mengulangi gesaannya bagi negara-negara meningkatkan standard dan mengukuhkan kerjasama antarabangsa untuk mempertingkatkan keselamatan dan sekuriti dalam penerbangan awam global.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, dua isu utama - pengesanan pesawat komersial dalam masa nyata di peringkat global dan risiko bagi penerbangan awam terbang di zon konflik menjadi semakin penting terutama dengan meningkatkan keganasan dan ancaman siber.

"Kita tidak perlu diingatkan tentang pentingnya dasar dan prosedur ini berikutan tragedi MH370 dan MH17 yang belum pernah berlaku sebelum ini.

"Kita tahu bahawa apa yang kita lakukan di Montreal sekarang akan membantu memastikan dunia tidak menyaksikan malapetaka ini berulang," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) ke-39 di Montreal, Kanada pada Selasa.

Teks ucapan beliau diedarkan kepada media di sini pada Rabu. Perhimpunan Agung itu dijadual berlangsung dari 27 Sept hingga 7 Okt, 2016.

Liow berkata Malaysia secara aktif menyertai Pasukan Petugas ICAO yang menghasilkan keperluan mandatori bagi pengesanan pesawat penumpang dalam masa nyata.

"Kita juga banyak terlibat dalam pasukan petugas bagi memastikan tiada pesawat lain mengalami nasib seperti MH17 apabila terbang di ruang udara zon konflik. Inisiatif ini bukan pilihan, ia akan menyelamatkan nyawa," katanya.

Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai telah ditembak jatuh di ruang udara negara yang bergolak itu.

Penerbangan MH370 pula hilang dari imbasan radar pada 8 Mac semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal. Bangkai pesawat Boeing 777 itu belum dijumpai walaupun selepas operasi besar-besaran dijalankan di selatan Lautan Hindi, dipercayai tempat bersemadinya MH370 selepas melencong dari laluan asal.

Sementara itu, Liow melahirkan harapan Malaysia untuk meraih sokongan bagi pencalonannya ke majlis ICAO.

"Adalah menjadi harapan kami bahawa anda mengiktiraf sumbangan kami dan menyokong keanggotaan Malaysia yang berterusan dalam majlis itu," katanya.

Pada masa ini, ICAO terdiri daripada 191 negara anggota. Malaysia menjadi negara anggota ICAO sejak 1958 dan menduduki anggota majlis ICAO untuk tiga penggal berturut-turut sejak dipilih buat kali pertama dalam majlis pada 2007. -- BERNAMA