Skip to main content

Teknologi

Apple perkenal ciri akses baharu berasaskan AI untuk OKU

Sumber: AMANZ
Menerusi kemas kini berkenaan, VoiceOver kini mampu memberikan penerangan imej yang lebih terperinci merentas sistem operasi, termasuk bagi foto, resit dan dokumen digital. -Foto Amanz

CUPERTINO: Apple Inc mengumumkan pengenalan beberapa ciri ketercapaian (accessibility) baharu yang diperkasakan kecerdasan buatan (AI) menerusi Apple Intelligence, bagi memperluas akses digital kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Kemas kini teknologi bantuan ini merangkumi penambahbaikan pada fungsi VoiceOver, Magnifier, Voice Control dan Accessibility Reader, selain sokongan baharu untuk set kepala Apple Vision Pro serta ekosistem video.

Ia dijangka diperkenalkan secara berperingkat menjelang penghujung 2026, lapor Amanz.

Menerusi kemas kini berkenaan, VoiceOver kini mampu memberikan penerangan imej yang lebih terperinci merentas sistem operasi, termasuk bagi foto, resit dan dokumen digital.

Pengguna juga boleh mengemukakan soalan susulan secara langsung menggunakan bahasa perbualan berdasarkan imej yang dipaparkan, dengan hanya menekan butang Action.

Aplikasi Magnifier turut dipertingkat dengan fungsi pintar yang menyokong antara muka kontras tinggi serta kawalan suara, membolehkan pengguna membesarkan paparan atau mengaktifkan lampu suluh menggunakan arahan lisan.

Dalam masa sama, Voice Control pada iPhone dan iPad ditambah baik melalui ciri Say what you see, yang membolehkan pengguna menavigasi skrin secara lebih intuitif tanpa perlu menghafal label butang atau arahan tertentu.

Bagi mengurangkan jurang maklumat, Accessibility Reader kini dilengkapi keupayaan AI untuk memahami, menterjemah dan merumuskan kandungan kompleks seperti kertas saintifik yang mengandungi carta, imej dan jadual data.

Selain itu, sistem sari kata automatik akan diperluas ke ekosistem Apple termasuk iPhone, iPad, Mac, Apple TV dan Vision Pro, bagi meningkatkan kebolehcapaian kandungan video.

Dalam aspek mobiliti, Apple Vision Pro kini menyokong kawalan kerusi roda elektrik menerusi teknologi penjejakan mata yang lebih tepat, sekali gus membuka potensi baharu dalam penggunaan peranti bantu.

Sementara itu, bagi segmen aksesori, Apple turut memperkenalkan MagSafe Hikawa Phone Grip & Stand dengan tiga pilihan warna baharu untuk pasaran global melalui Apple Store dalam talian.

 

Must Watch Video

Advertisement