Skip to main content

Dunia

Ketegangan dengan Trump memuncak, Zelenskyy hubungi utusan kanan AS

Presiden Volodymyr Zelenskyy (kanan) berjalan di belakang barisan pemimpin Kesatuan Eropah (EU) ketika tiba bagi menghadiri mesyuarat meja bulat sempena Sidang Kemuncak EU di Brussels, pada 16 Oktober 2026. - Gambar AP
Presiden Volodymyr Zelenskyy (kanan) berjalan di belakang barisan pemimpin Kesatuan Eropah (EU) ketika tiba bagi menghadiri mesyuarat meja bulat sempena Sidang Kemuncak EU di Brussels, pada 16 Oktober 2026. - Gambar AP

Advertisement

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mengadakan perbincangan dengan dua utusan kanan Amerika Syarikat (AS) pada Ahad, dalam usaha meredakan ketegangan selepas Presiden Donald Trump menuduhnya tidak mahu menamatkan perang dengan Rusia.

Zelenskyy bercakap dengan Steve Witkoff dan Jared Kushner ketika Rusia dan Ukraine saling menyerang kemudahan tenaga masing-masing.

Serangan Moscow menyebabkan ribuan penduduk terputus bekalan elektrik, manakala Kyiv melancarkan serangan dron terbesar ke atas Saint Petersburg sejak perang tercetus pada 2022.

Hubungan Trump dan Zelenskyy kembali tegang selepas Presiden AS itu menyekat sekatan baharu terhadap Rusia selain memeterai perjanjian diesel dengan Moscow, sekali gus mencetuskan kebimbangan di Kyiv dan Eropah bahawa White House semakin cenderung kepada Moscow.

Pada Ahad, Trump menerusi platform Truth Social berkata beliau sedang berusaha merundingkan perdamaian antara Rusia dan Ukraine serta mendakwa kemajuan besar sedang dicapai.

Bagaimanapun, beliau menuduh Zelenskyy tidak berminat untuk menamatkan peperangan itu.

“Zelenskyy tidak peduli dan terus terang, dengan semua wang yang seperti diketahui umum diberikan Eropah kepadanya... dia tidak mahu menamatkan perang ini, dan mungkin tidak pernah mahu berbuat demikian,” kata Trump.

Trump turut menuduh Zelenskyy menjadikan kemudahan penapisan diesel Rusia sebagai sasaran meskipun mengetahui serangan itu memberi kesan besar kepada pasaran diesel dunia, termasuk di AS.

Terdahulu, selepas bercakap dengan Witkoff dan Kushner, Zelenskyy berkata banyak perkara bergantung kepada pendirian AS dalam perang berkenaan.

Namun, katanya, satu perkara yang jelas ialah perang tersebut perlu ditamatkan.

Ukraine, katanya, bersedia bekerjasama secara “konstruktif” dan “jujur”.

“Kami mengharapkan pendekatan yang sama daripada semua rakan kami, sama ada Eropah dan sudah tentu, pihak Amerika,” katanya.

Zelenskyy berkata perbincangan itu turut menyentuh penghantaran sistem pertahanan udara Patriot AS ketika Kyiv berdepan kesukaran menangkis serangan peluru berpandu Rusia.

Beliau sebelum itu memberitahu penyiar AS, NBC bahawa adalah satu “kesilapan bersejarah” sekiranya Washington secara rasmi menyokong Rusia, sambil berharap Trump akan mengubah keputusannya.

Pada masa sama, Zelenskyy berkata beliau berterima kasih kepada AS kerana menyambung semula perkongsian risikan selepas ia dihentikan sementara, yang menurutnya menyebabkan Ukraine lebih terdedah kepada serangan peluru berpandu Rusia.

Puluhan ribu terputus bekalan elektrik

Usaha yang diterajui AS untuk menamatkan konflik paling berdarah di Eropah sejak Perang Dunia Kedua setakat ini masih belum menghasilkan kejayaan besar.

Trump sebelum ini turut menyuarakan kekecewaan terhadap Zelenskyy dan Presiden Rusia, Vladimir Putin berhubung kegagalan mencapai kemajuan dalam usaha menamatkan perang.

Zelenskyy berkata, perbincangan dengan pegawai AS itu berlangsung ketika Rusia didakwanya telah melanggar “gencatan senjata tenaga” Trump sebanyak 76 kali.

Beliau turut memberi amaran Moscow merancang menyebabkan rakyat Ukraine kehilangan bekalan pemanas dan elektrik menjelang musim sejuk.

Menurut Zelenskyy, serangan Rusia menyebabkan “puluhan ribu” penduduk terputus bekalan elektrik di beberapa wilayah, manakala pegawai Ukraine melaporkan tiga individu terbunuh.

Tentera Ukraine pula melancarkan serangan dron ke Saint Petersburg, bandar kelahiran Putin, lewat Ahad sehingga menyebabkan sebuah kilang penapisan minyak terbakar dan seorang terbunuh, menurut Moscow.

Asap tebal dilaporkan kelihatan dari pusat bersejarah Saint Petersburg di tebing Sungai Neva selepas Rusia mendakwa sebuah kilang penapisan minyak dan depot menjadi sasaran serangan Ukraine.

Gabenor Saint Petersburg, Alexander Beglov berkata, seorang terbunuh manakala lima lagi dimasukkan ke hospital.

Pihak berkuasa turut berusaha memadamkan kebakaran di terminal minyak Saint Petersburg, depot minyak Ruchyi dan beberapa gudang perindustrian.

Rangkaian sosial Rusia, VKontakte memaklumkan pusat datanya turut terkena serangan, manakala Ozon, peruncit kedua terbesar Rusia, turut melaporkan pusat logistiknya diserang.

Ketua wilayah Leningrad, Alexander Drozdenko berkata sistem pertahanan udara berjaya menembak jatuh 144 dron Ukraine.

Media kerajaan Rusia menyifatkannya sebagai serangan terbesar ke atas bandar berkenaan sejak perang bermula.

‘Rutin perang yang mengerikan’

Kremlin bagaimanapun menegaskan serangan Ukraine ke atas bandar-bandar Rusia tidak akan mengubah matlamat perangnya.

Putin berulang kali berkata, Moscow berhasrat menguasai baki wilayah timur Ukraine, manakala perang yang kini memasuki tahun kelima dilihat masih jauh daripada penyelesaian.

Moscow melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas bandar-bandar Ukraine hampir setiap hari, manakala Kyiv mempertahankan tindakannya dengan menyifatkan serangannya sebagai tindak balas setimpal.

Serangan Ukraine sebelum ini turut menyebabkan gangguan bekalan bahan api di seluruh Rusia pada awal tahun ini. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement