Skip to main content

Dunia

Ketegangan Selat Hormuz meningkat, Iran beri amaran negara sokong sekatan AS

Mohammad Akrami Nia
Mohammad Akrami‑Nia (foto) berkata pihak yang memusuhi Iran gagal mencapai sebarang objektif sepanjang konflik yang bermula pada akhir Februari lalu, sebelum akhirnya menerima syarat gencatan senjata yang berkuat kuasa pada awal April. -Foto Iranian Army

TEHRAN: Jurucakap Tentera Darat Iran, Brigadier Jeneral Mohammad Akrami‑Nia, memberi amaran bahawa mana‑mana negara yang menguatkuasakan sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap Tehran berdepan risiko kesukaran untuk melalui Selat Hormuz, lapor Al Jazeera.

Beliau berkata pihak yang memusuhi Iran gagal mencapai sebarang objektif sepanjang konflik yang bermula pada akhir Februari lalu, sebelum akhirnya menerima syarat gencatan senjata yang berkuat kuasa pada awal April.

Menurutnya, perkembangan itu tidak menggugat kestabilan sistem politik Iran, sebaliknya mengukuhkan perpaduan rakyat negara berkenaan.

Mohammad Akrami‑Nia berkata sepanjang tempoh gencatan senjata, Iran terus memperkukuh keupayaan tenteranya, mengemas kini pangkalan data sasaran serta menambah baik kedudukan pertahanan dan serangan.

Beliau menegaskan Selat Hormuz kini berada di bawah kawalan ketat bagi memastikan sebarang tindakan agresif pihak asing dapat dipatahkan segera.

Menurut beliau, amaran itu dikeluarkan susulan tindakan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, yang melancarkan operasi Project Freedom bagi mengiringi kapal‑kapal komersial melalui laluan strategik tersebut.

Tehran menyifatkan penglibatan asing sebagai ancaman kepada keselamatan serantau dan memberi amaran bahawa sebarang salah kira akan dibalas menggunakan aset ketenteraan baharu yang lebih canggih.

Ketegangan berterusan di Selat Hormuz — laluan kira‑kira 20 peratus bekalan tenaga dunia — mendorong harga minyak global melonjak melepasi AS$115 (kira‑kira RM454.40) setong.

Iran menegaskan kesediaannya untuk meneruskan penentangan sekiranya AS terus mencabuli kedaulatan maritimnya melalui sekatan ekonomi yang disifatkan tidak adil.

Must Watch Video