ADA satu kenangan yang sering kali mengamit memori.
Ibu saya di meja dapur sebelum matahari terbit, dengan sebuah buku kecil dan sebatang pen, membuat kira-kira dalam menjaga hal ekonomi rumah kecil kami. Ibu tidak boleh tersilap langkah. Ibu tidak bermain dengan angka besar dalam gandaan juta atau bilion tetapi suatu yang lebih kecil, lebih mendesak; bil mana yang boleh ditangguhkan seminggu lagi, sama ada yuran sekolah sempat dilangsaikan sebelum bil elektrik kunjung tiba. Apa yang boleh dikorbankan sementara waktu supaya tiada perkara yang benar-benar penting jatuh terabai.
Ibu tidak pernah menggelarkan aktiviti kira-kira ini sebagai pengorbanan. Perkataan itu barangkali terasa terlalu besar dan terlalu dramatik untuk dia. Namun, dia lebih senang memangilnya pengurusan isi rumah,
Hari ini, lebih tiga abad berlalu, saya memahami apa yang tidak mampu garap dahulu.
Setiap pagi di meja itu, dia membuat perhitungan yang tidak pernah di ambil kira oleh pakar ekonomi, menyelesaikan persamaan yang tidak pernah diselesaikan oleh sang pemerintah. Ibu hanya mampu melihat kos yang tidak pernah tercatat dalam slip gaji bulanan.
Apa yang ibu lakukan? Dia sebenarnya sedang bekerja, dia sedang melakukan kerja penjagaan, suatu kerja yang tidak terlihat, tetapi menjadi tali yang mengikat sebuah keluarga agar tidak terurai, sementara dunia di luar berputar atas andaian bahawa seseorang, di suatu tempat, sudah pun melakukannya.
Dan seseorang itu sering kali seorang wanita.
Ekonomi Malaysia tidak pernah benar-benar membayar kos penjagaan. Ia sekadar menganggap penjagaan itu siap tersedia.
Selama berdekad tahun, kos sebenar untuk memastikan rumah tangga terus berfungsi, anak-anak boleh mendapatkan pendidikan, dan pekerja terus sihat serta kekal produktif, telah diserap secara total oleh wanita yang tidak pernah menghantar invois kepada kerajaan, tidak pernah membuat tuntutan bayaran, dan tidak pernah diminta berbuat demikian. Ekonomi kita berjalan dan berfungsi atas paksi subsidi yang tidak menjerit kesakitan, bahkan tidak pernah berbunyi.
Sehingga hari ini, kita masih begitu dan masih di tempat yang sama. Cuma, hanya membezakan hari ini dan 30 tahun yang lalu, subsidi ini semakin sukar untuk dipertahankan. Malaysia sudah mula melihat harga yang perlu dibayar, dalam bentuk yang barangkali memerlukan satu generasi lagi untuk mengukur kos faktor intrinsik yang sebenar.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, bagi tahun 2024, kadar penyertaan tenaga buruh wanita berada pada takat 56.5 peratus. Yang berada di luar tenaga buruh sepenuhnya, jua wanita, dan peratusan mereka juga bukan kecil - 69.2 peratus.
Ini bukan soal bakat atau cita-cita. Kita sedang bertarung dengan sebuah sistem yang tidak pernah menghitung kos penjagaan dengan sebenar-benarnya, kerana selama ini, wanita menjadi tulang belakang dan sentiasa ada untuk menyerap tekanan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Dan krisis itu sedang menghantar signal yang paling kuat. Bukan saja ekonomi terkesan. Malah demografi masyarakat menjadi mangsa.
Korea Selatan mengabaikan perhitungan ini selama beberapa dekad. Hari ini, negara itu mencatatkan kadar kesuburan keseluruhan terendah yang pernah direkodkan bagi mana-mana negara iaitu 0.72 pada tahun 2023. Wanita di Korea Selatan bukan tidak mahu mempunyai anak, tapi kos terkumpul dalam menjaga ekonomi rumah tangga dan kos penyertaan ekonomi menjadi terlalu besar untuk ditanggung. Hitungan yang berbeza, namun masih temui jawapan yang sama.
Benar Malaysia masih belum sebuah ekonomi maju seperti Korea Selatan,
Tetapi Malaysia juga sedang mendepani cabaran dalam versi kita sendiri, dan hasilnya tidak jauh beza, jika persekitaran ekonomi dan polisi tidak berubah.
Inilah penalti menjadi seorang ibu. Dan tidak hanya terhenti sewaktu kehilangan pendapatan. Malah menjadi kumulatif dalam bentuk kehilangan kemajuan dalam tangga kerjaya, kehilangan simpanan persaraan, kehilangan jaringan profesional, kehilangan kuasa tawar-menawar, dan kehilangan keyakinan yang mengganda sepanjang hayat. Seorang wanita yang meninggalkan dunia pekerjaan pada usia 32 tahun untuk menjaga anak-anak bukan sekadar mengorbankan gaji. Dia sedang mengorbankan seluruh trajektori yang mungkin dibiayai oleh gaji itu. Apabila anak-anaknya sudah bersekolah dan dia bersedia untuk kembali bekerja, jurangnya sudah melebar dan pasaran sudah pun bergerak ke hadapan.
Dalam kajian Institut Penyelidikan Khazanah yang menyentuh kerja penjagaan tidak berbayar dan ketidaksamaan gender, jelas memberi gambaran bahawa tanggungjawab penjagaan mengekang penyertaan ekonomi wanita secara struktural, bukan secara kebetulan.
Datanya jelas: wanita di Malaysia menghabiskan purata 3.6 jam sehari untuk kerja penjagaan tidak berbayar, berbanding 2.2 jam bagi lelaki iaitu kira-kira 64 peratus lebih banyak masa diserap oleh kerja yang tidak dikira oleh ekonomi. (UNDP, 2024).
Perlu diingatkan walaupunpenjagaan tidak kelihatan, kosnya tidak hilang. Ia hanya dipindahkan kepada ibu, kepada keluarga, kepada majikan yang kehilangan seorang wanita yang berpengalaman di pertengahan kerjayanya, dan kepada sebuah ekonomi yang beroperasi di bawah kapasiti produktivitinya. Ini kerana terlalu ramai yang mahu bekerja, tidak mampu berbuat demikian.
Apabila tindak balas dasar akhirnya hadir, ia lazimnya datang dalam bentuk pelepasan cukai. Belanjawan 2026 mencadangkan peluasan pelepasan berkaitan penjagaan anak dan prasekolah, yang merangkumi pusat jagaan harian dan pusat transit berdaftar bagi kanak-kanak sehingga usia 12 tahun. Ini satu isyarat yang wajar diiktiraf. Namun, pelepasan cukai sampai kepada keluarga yang mempunyai pendapatan mencukupi untuk membayar cukai. Ia tidak banyak membantu isi rumah berpendapatan rendah yang telah dikenal pasti oleh SERI sebagai berada di bawah ambang pendapatan bercukai.
Dasar yang membantu ibu yang berpendapatan sederhana untuk kembali bekerja tetapi meninggalkan ibu berpendapatan rendah di belakang, ibarat separuh langkah yang mengenakan pakaian reformasi.
Sweden pula menunjukkan arah yang berbeza. Penjagaan kanak-kanak bersubsidi secara universal, cuti ibu bapa yang dikongsi, dan dasar yang sengaja meletakkan penjagaan sebagai pelaburan awam serta bukan perbelanjaan peribadi telah menghasilkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita tertinggi di dunia maju, melebihi 80 peratus, dengan ekonomi yang terus menunjukkan prestasi kukuh dari segi produktiviti dan jurang pendapatan gender yang semakin mengecil. Pelaburannya nyata. Pulangannya juga nyata.
Ini bukan seruan untuk Malaysia meniru negara kebajikan Nordik secara bulat-bulat. Tetapi apabila penjagaan dilayan sebagai infrastruktur dan bukan kebajikan, dividen ekonominya boleh diukur dalam tempoh masa yang panjang dan tidak terlihat dengan mata kasar. Malah, nikmatnya juga boleh dinikmati bersama
Pendekatan Malaysia yang lebih lengkap dan meluas juga harus membenarkan sokongan mengikuti keluarga, bukan sekadar borang cukai. Baucar atau kredit penjagaan, yang boleh digunakan merentasi penyedia yang diluluskan, seperti pusat penjagaan berdaftar, pengasuh berasaskan rumah yang terlatih, dan platform berasaskan teknologi yang memenuhi piawaian nasional dari segi tapisan, keselamatan dan jaminan kualiti dapat memperluas capaian kepada isi rumah yang paling memerlukannya.
Majikan, dengan insentif yang betul, boleh melihat penjagaan anak sebagai pelaburan produktiviti, bukan tambahan kebajikan yang hanya difikirkan di kemudian hari.
Pekerja penjagaan, yang sebahagian besarnya terdiri daripada wanita daripada komuniti B40, boleh diberikan latihan dan pensijilan berstruktur yang beralih kepada kerja tidak formal kepada pendapatan bermaruah.
Tiada satu pun daripada ini menuntut kerajaan untuk mengendalikan penjagaan anak secara langsung. Apa yang diperlukan? Kerajaan perlu membina keadaan yang membolehkan penyedia penjagaan yang dipercayai sampai kepada lebih ramai keluarga. Ada perbezaan antara menyampaikan penjagaan dan membolehkan ekonomi penjagaan berkembang. Malaysia harus mengejar objektif yang kedua, dalam keseriusan yang sama. Sama seperti kita mengejar dasar perindustrian.
Di Kiddocare, kami melihat permintaan ini setiap hari. Setiap tempahan di platform bukan sekadar transaksi. Ia adalah satu titik data yang belum yang belum dicakup oleh dasar awam: seorang ibu yang dapat menghadiri mesyuarat kerana ada seorang pengasuh yang dipercayai telah tiba; seorang ibu atau bapa yang dapat mengambil syif kerana wujudnya fleksibiliti; seorang pengasuh terlatih yang memperoleh pendapatan bermaruah, bukan bekerja secara tanpa perlindungan. Platform ini telah menghubungkan lebih 12,000 pengasuh wanita dengan keluarga di seluruh Malaysia, dengan lebih RM15 juta telah disalurkan sebagai pendapatan pengasuh. Angka-angka ini bukan sekadar rekod pencapaian. Ia adalah ukuran keperluan yang belum dipenuhi - permintaan yang telah lama wujud sebelum platform itu sendiri wujud, menunggu satu struktur yang mampu menampungnya.
Teknologi hari ini adalah kuasa tangan ghaib yang sebenar - yang tidak formal dapat dirasmikan. Setiap titik data mengambarkan 1001 kisah yang tidak diendahkan. Namun, teknologi tidak boleh menggantikan dasar, sebaliknya ianya perlumenjadi panduan dalam diskusi polisi awam. Realitinya juga pahit: platform berkembang dalam sistem dan sistem ditentukan oleh kerajaan.
Sudah terlalu lama kita meminta ibu menjadi tabah dan cekal sebagai ganti kepada sokongan yang tidak kita sediakan. Kita memuji pengorbanan, tetapi tidak mengurangkan beban. Kita mengagungkan wanita di meja dapur dengan buku notanya dan menamakannya kekuatan, sedangkan hakikatnya masih perlu ditelan oleh jutaan keluarga Malaysia. Pengurusan ekonomi rumah tangga dalam dunia hari ini adalah pengurusan kegagalan struktural yang negara., Kita masih belum cukup jujur untuk menamakannya.
Benar, pengorbanan seorang ibu wajar dihormati. Tetapi tidak wajar dijadikan sebagai dasar negara.
Pemberdayaan sebenar bukanlah meminta wanita memikul lebih banyak beban sambil menyebutnya kekuatan. Pemberdayaan sebenar ialah merancang semula keadaan kerja dan keluarga supaya tiada lagi wanita perlu memikul seorang diri. Ini bukan sentimental. Ini perancangan.
Ibu saya mengimbangkan buku nota itu setiap pagi bukan kerana negara memintanya, tetapi kerana seseorang harus melakukannya. Dia tidak pernah mengharapkan pengiktirafan. Dia memanggilnya mengurus, dan dia benar-benar maksudkannya.
Rencana ini untuk ibu saya dan semua ibu di pelusuk negara, untuk semua kira-kira dan penghitungan yang perlu dicatur sebelum fajar menyinsing, untuk setiap perjalanan menghantar anak ke sekolah, untuk semua mimpi-mimpi dan harapan agar kami dapat melangkah kehadapan, untuk tahun-tahun yang menggalas tanggungjawab penjagaan yang tidak pernah muncul dalam slip gaji atau belanjawan negara, tetapi memungkinkan segala-galanya.
Dan ia juga satu tuntutan.
Tuntutan untuk membina sebuah Malaysia, di mana ibu-ibu dalam generasi mendatang tidak perlu lagi mengimbangi lejar belanjawan rumah dalam gelap, mensubsidi sebuah ekonomi yang masih belum mampu melihat mereka.
Ucapan terima kasih adalah hutang yang paling mudah kita lunaskan. Membina sistem yang menyokong mereka adalah hutang yang terlalu lama kita tangguhkan. Dan hutang ini wajar dibayar.
* Rahman Hussin ialah pengarah di Kiddocare dan mengetuai Unit Perhubungan Kerajaan dan Pihak Berkepentingan. Beliau telah berada di persimpangan dasar, perniagaan dan masyarakat selama 15 tahun yang lalu dan dibesarkan oleh ibunya bersama 2 adik-beradik lain, dari Flat Sri Johor, KL ke Taman Guru, Seremban.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.