DUNIA
Ketua PBB beri amaran bajet bantuan "hampir tiada" pada persidangan pembangunan di Sepanyol

Guterres berkata agenda global bagi menghapuskan kemiskinan, melindungi alam sekitar dan mempromosi keamanan memerlukan kira-kira AS$4 trilion setahun. - Reuters
OVIEDO (Sepanyol): Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Isnin memberi amaran bahawa bajet bantuan asing kini "sebahagian besarnya tiada," sambil menegaskan bahawa ini bukan sekadar krisis angka tetapi membabitkan "keluarga yang kelaparan, kanak-kanak tidak divaksin, kanak-kanak tercicir sekolah," pada satu persidangan pembangunan utama di Seville.
Menurut Anadolu Ajansi (AA), Guterres berkata untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 2030 - agenda global bagi menghapuskan kemiskinan, melindungi alam sekitar dan mempromosi keamanan - memerlukan kira-kira AS$4 trilion setahun.
"Tetapi kita berada di Seville untuk mengubah haluan, memulihkan mesej keadilan untuk semua," kata Guterres.
Beliau berucap pada Persidangan Antarabangsa Keempat Mengenai Pembiayaan untuk Pembangunan - persidangan seumpamanya yang pertama dalam tempoh sedekad.Kira-kira 50 pemimpin dunia dan 4,000 wakil daripada sektor perniagaan, masyarakat sivil dan institusi kewangan menghadiri persidangan selama empat hari itu.
Awal bulan ini, Amerika Syarikat (AS) mengumumkan ia tidak akan hadir.
Washington, yang baru-baru ini memotong dana kepada Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) - yang secara sejarahnya merupakan antara agensi bantuan terbesar dunia - juga secara rasmi menolak Matlamat Pembangunan Mampan.
"Selama beberapa dekad, misi pembangunan mampan telah menyatukan negara-negara besar dan kecil. Bersama-sama, kita telah mencapai kemajuan," kata Guterres.
"Tetapi hari ini, pembangunan dan kerjasama antarabangsa berdepan halangan besar. Kita hidup dalam dunia di mana kepercayaan semakin rapuh dan multilateralisme semakin tertekan," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami