NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres memberi penghormatan kepada kakitangannya yang terkorban dalam perang Gaza, lapor Agensi Berita (dpa) Jerman.

"Seramai 136 rakan sekerja kami di Gaza telah terbunuh dalam tempoh 75 hari - sesuatu yang tidak pernah kami lihat dalam sejarah PBB," menurut hantaran Guterres di platform X pada Sabtu.

"Kebanyakan kakitangan kami telah dipaksa keluar dari kediaman mereka. Saya memberi penghormatan kepada mereka dan beribu-ribu anggota bantuan yang mempertaruhkan nyawa bagi menyokong orang awam di Gaza," menurut hantaran itu.

Dalam catatan lain, Guterres sekali lagi mengkritik tindakan Israel dalam konflik itu.

"Tindakan Israel melakukan serangan mewujudkan halangan besar kepada misi pengagihan bantuan kemanusiaan di Gaza," katanya.

Untuk membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan berkesan, beliau berkata kakitangannya perlu bekerja dalam persekitaran yang selamat.

Selepas ditunda beberapa kali, Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi pada Jumaat menggesa peningkatan bantuan kemanusiaan bagi dua juta orang awam yang memerlukan di Semenanjung Gaza.

Bagaimanapun, badan PBB yang menerima pakai resolusi tanpa menuntut gencatan senjata segera seperti diharapkan Guterres.

-- BERNAMA