Skip to main content
Advertisement

Dunia

Ketua PBB gesa penglibatan wanita diperkukuh dalam proses damai

Guterres menggesa kerajaan memperkukuh penyertaan wanita dalam rundingan damai, memulihkan pembiayaan kepada pertubuhan diterajui wanita serta memastikan pelaku keganasan berasaskan jantina dibawa ke muka pengadilan. - Gambar AP
Guterres menggesa kerajaan memperkukuh penyertaan wanita dalam rundingan damai, memulihkan pembiayaan kepada pertubuhan diterajui wanita serta memastikan pelaku keganasan berasaskan jantina dibawa ke muka pengadilan. - Gambar AP

Advertisement

WASHINGTON: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Selasa menggesa kerajaan memperkukuh penyertaan wanita dalam rundingan damai, memulihkan pembiayaan kepada pertubuhan diterajui wanita serta memastikan pelaku keganasan berasaskan jantina dibawa ke muka pengadilan, lapor Anadolu Ajansi.

Ketika berucap pada sesi perbahasan terbuka Majlis Keselamatan PBB mengenai wanita, keamanan dan keselamatan, Guterres memberi amaran bahawa ketidaksamaan jantina terus menjejaskan usaha keamanan meskipun pelbagai komitmen antarabangsa telah dibuat.

Beliau merujuk kepada Resolusi Majlis Keselamatan 1325 yang diterima pakai pada 2000, yang mengiktiraf kepentingan penglibatan wanita dalam pencegahan konflik, penyelesaian dan pembinaan keamanan.

Beliau berkata, dunia kini berdepan jumlah konflik tertinggi sejak Perang Dunia Kedua, termasuk krisis di Semenanjung Gaza, Ukraine, wilayah Sahel, Sudan dan Myanmar, sekali gus meningkatkan risiko wanita dan kanak-kanak perempuan menjadi mangsa keganasan seksual, kehilangan tempat tinggal serta pencabulan hak asasi.

"Jumlah kes keganasan seksual berkaitan konflik yang disahkan PBB meningkat mendadak kepada lebih 9,700 kes tahun lepas, dengan angka sebenar dipercayai jauh lebih tinggi," kata beliau.

Guterres turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kematian ibu di kawasan konflik, gangguan terhadap pendidikan kanak-kanak perempuan serta serangan terhadap pemimpin wanita, wartawan dan pembela hak asasi manusia.

Beliau berkata, kaum wanita masih kurang diwakili dalam rundingan damai rasmi, walaupun terdapat bukti bahawa penglibatan bermakna mereka mampu memperkukuh perjanjian damai dan mencerahkan prospek kestabilan yang berkekalan.

Wanita hanya merangkumi lima peratus daripada perunding dalam 57 proses damai sepanjang 2025, manakala kurang satu perlima perjanjian damai yang dimeterai pada tahun itu mengandungi sekurang-kurangnya satu rujukan mengenai wanita, kanak-kanak perempuan, gender atau keganasan seksual, kata beliau.

Beliau turut menggesa kerajaan menunaikan komitmen bantuan pembangunan rasmi, memperkukuh perlindungan terhadap pekerja bantuan kemanusiaan wanita serta memastikan pelaku keganasan berasaskan jantina, termasuk keganasan seksual berkaitan konflik, dipertanggungjawabkan.

"Kesaksamaan bukan sekadar impian. Ia adalah satu keputusan," katanya.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement