DUNIA
Ketua Pembangkang Israel kecam kerajaan Netanyahu, sifatkan rancangan pindahkan rakyat Gaza sebagai "idea gila"

Yair Lapid sekali lagi mengkritik keras rancangan kerajaan untuk membina sebuah “bandar kemanusiaan” di selatan Gaza, menyifatkannya sebagai “idea gila, malah melangkaui kebiasaan kerajaan ini.” - Gambar fail
TEL AVIV : Ketua Pembangkang Israel, Yair Lapid sekali lagi mengkritik keras rancangan kerajaan untuk membina sebuah “bandar kemanusiaan” di selatan Gaza, menyifatkannya sebagai “idea gila, malah melangkaui kebiasaan kerajaan ini.”
Dalam satu sidang media, Lapid melontarkan pelbagai persoalan berhubung pelan tersebut, termasuk aspek keselamatan, logistik dan kemanusiaan.
“Adakah penduduk akan dibenarkan keluar dari bandar itu? Jika tidak, bagaimana mereka akan dihalang daripada keluar? Akan ada pagar? Biasa atau elektrik? Berapa ramai askar diperlukan untuk kawal pagar itu? Apa akan berlaku jika kanak-kanak cuba keluar dari bandar?” soalnya secara sinis.
Beliau turut mempersoalkan pihak mana yang akan membekalkan makanan, air dan elektrik kepada penduduk, selain menekankan risiko penularan penyakit serta kos rawatan jika wabak berlaku.“Dan persoalan paling penting kepada rakyat Israel: Berapa kosnya kepada kita semua?” tegas Lapid.
Beliau mendedahkan, pelan itu dijangka menelan belanja sekurang-kurangnya 15 bilion shekel (AS$4.5 bilion), dengan anggaran sesetengah pihak mencecah 20 bilion shekel (AS$6 bilion) atau lebih.
“Bandar ini tidak akan wujud… ia satu idea yang sangat gila,” katanya sambil menyifatkan projek itu sebagai satu “khayalan yang membazirkan wang rakyat.”
Sebelum ini, dalam temubual bersama Radio Tentera Israel, Lapid menyifatkan cadangan itu sebagai “satu idea buruk dari semua sudut – keselamatan, politik, ekonomi dan logistik.” - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami