Ketua Perbendaharaan AS puji ‘kemenangan besar’ PM Jepun, Sanae Takaichi

Takaichi (dua dari kiri) menerima sokongan terbuka daripada Presiden Trump menjelang hari pengundian - langkah yang dilihat mampu melonjakkan sokongan bagi LDP yang kini dijangka meraih lebih daripada dua pertiga kerusi Parlimen. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent menyifatkan kemenangan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, dalam pilihan raya pada Ahad sebagai satu “kemenangan besar”, sambil menegaskan bahawa Jepun yang kukuh akan menguatkan kedudukan Amerika Syarikat di Asia.
Takaichi, seorang konservatif, menerima sokongan terbuka daripada Presiden Donald Trump menjelang hari pengundian - langkah yang dilihat mampu melonjakkan sokongan bagi Parti Demokratik Liberal (LDP) yang kini dijangka meraih lebih daripada dua pertiga kerusi Parlimen.
“Perdana Menteri telah mengadakan pilihan raya mengejut… dan ternyata beliau meraih kemenangan besar hari ini,” kata Bessent dalam program Sunday Morning Futures di Fox News.
“Beliau bakal memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Tinggi. Presiden Trump menyokongnya minggu lalu. Beliau seorang sekutu yang hebat, memiliki hubungan baik dengan Presiden. Dan apabila Jepun kuat, Amerika Syarikat juga kuat di Asia.”
Takaichi hidupkan semula nasib LDP
Takaichi memanggil pilihan raya tersebut selepas menjadi Perdana Menteri kelima Jepun dalam tempoh lima tahun, sekali gus berusaha mengembalikan momentum politik partinya.
Pada Khamis lalu, ketika Trump mengumumkan sokongannya menerusi media sosial, beliau turut mengambil langkah luar kebiasaan dengan memaklumkan lebih awal bahawa Takaichi akan membuat kunjungan rasmi ke White House pada 19 Mac, sebelum keputusan pilihan raya diumumkan.
Dalam kenyataan sama, Trump menyatakan, kedua-dua negara sedang berusaha mencapai perjanjian perdagangan “yang sangat besar”, selain memperkukuh kerjasama dalam isu keselamatan.
Beliau turut memberikan “sokongan penuh dan total” kepada Takaichi.
Takaichi kemudiannya mengucapkan terima kasih kepada Trump melalui hantaran di platform X, sambil menyatakan potensi hubungan dua hala antara Washington dan Tokyo adalah “tanpa batas.”
Kerjasama AS-Jepun masih kukuh
Pada 2024, perdagangan antara AS dan Jepun mencecah AS$317 bilion, di samping hubungan keselamatan lama yang menyaksikan sekitar 50,000 anggota tentera AS ditempatkan di Jepun — menjadikannya tunjang kehadiran ketenteraan Amerika di rantau Asia Pasifik.
Takaichi turut dikenali kerana pendirian tegas terhadap China, pesaing strategik utama Amerika Syarikat.
Beliau sebelum ini menyatakan bahawa Jepun mungkin perlu campur tangan secara ketenteraan sekiranya Beijing menggunakan kekerasan untuk mengambil alih Taiwan yang diperintah sendiri. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


