ISLAMABAD: Afghanistan yang berhadapan kritikan global kerana melarang pendidikan untuk pelajar perempuan selain melarang wanita daripada bekerja, tidak mahu ada campur tangan dalam urusan dalaman negara itu, kata pemimpin agung Taliban, lapor Agensi Anadolu.

Dalam perutusan tahunan tradisinya sempena Aidilfitri, Mawlawi Hibatullah Akhundzada berkata negaranya mahu hubungan yang positif dengan jirannya, negara Islam lain, dan dunia, namun tidak ada negara yang boleh campur tangan dalam isu dalaman negara itu.

Pemimpin tertinggi itu mengelak daripada bertindak balas secara langsung kepada reaksi dunia berhubung larangan pendidikan untuk pelajar perempuan serta larangan terhadap wanita untuk bekerja dalam organisasi global baru-baru ini.

Beliau sebaliknya berkata pentadbiran Taliban telah memperkenal pembaharuan yang ketara dalam budaya, pendidikan, ekonomi, media dan bidang lain, manakala "kesan buruk daripada segi intelek dan moral daripada pendudukan 20 tahun akan berakhir."

"Penduduk wajar menganggap langkah-langkah pembaharuan ini penting kerana hidup dalam cahaya prinsip Syariah akan membawa kepada kesejahteraan dunia dan akhirat serta kebahagiaan abadi, kejayaan, dan keselamatan masyarakat," kata pemimpin Taliban itu.

Taliban baru-baru ini melarang wanita bekerja dalam organisasi global dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan tindakan itu menyalahi undang-undang, namun Taliban berkata ia merupakan isu dalaman negara mereka.

Pada 11 April, PBB berkata ia mungkin terpaksa membuat "pilihan yang sukar" mengenai kehadirannya di Afghanistan selepas Taliban melarang wanita bekerja untuk organisasi itu.

-- BERNAMA