SINGAPURA: Keuntungan bersih Singapore Airlines (SIA) Group menyusut kepada S$505 juta (S$1=RM3.07) pada suku ketiga berakhir 31 Dis 2025 (tahun kewangan 2026), turun 68.9 peratus berbanding S$1.63 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Penurunan itu adalah disebabkan oleh ketiadaan keuntungan sekali sahaja sebanyak S$1.09 bilion yang diiktiraf pada tahun sebelumnya akibat pelupusan Vistara susulan penggabungan Air India-Vistara pada November 2024.
Advertisement
Perolehan syarikat penerbangan nasional Singapura itu, bagaimanapun, berkembang kepada S$5.51 bilion daripada S$5.22 bilion, kata kumpulan itu melalui satu makluman kepada Bursa Singapura pada Selasa.
Bagi sembilan bulan terkumpul tahun kewangan 2026, SIA mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak S$743 juta daripada S$2.37 bilion, manakala hasil meningkat kepada S$15.18 bilion daripada S$14.72 billion.
Sementara itu, kumpulan itu berkata, Malaysia Airlines Bhd dan SIA telah merasmikan perkongsian strategik perniagaan bersama selepas menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura pada Julai 2025 serta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia pada Januari 2026.
“Perkongsian ini akan dilaksanakan secara progresif, dengan inisiatif berpotensi termasuk perkongsian hasil penerbangan antara kedua-dua negara, produk tambang bersama serta jadual penerbangan yang diselaraskan dan pengaturan perjalanan korporat bersama di kedua-dua pasaran.
"Inisiatif ini akan mengukuhkan operasi kedua-dua syarikat penerbangan selain memberikan nilai yang dipertingkatkan kepada pelanggan merentasi rangkaian gabungan kami, menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan dan kemudahan yang lebih besar kepada pelanggan," katanya lagi.
-- BERNAMA