THE HAGUE, BELANDA: Menteri Kehakiman Afrika Selatan berkata, kes yang dibawa negara itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza memberi peluang kepada mahkamah untuk "bertindak dalam masa nyata" untuk menghalang apa yang disifatkannya sebagai pembunuhan beramai-ramai "berterusan di Gaza."

Berucap kepada wartawan di luar ICJ di The Hague selepas Afrika Selatan mengakhiri hujah lisan perbicaraan pada Khamis, Ronald Lamola berkata, beliau berharap kes itu akan "memberi kesan" kepada penduduk Gaza.

"Kes ini memberi peluang kepada mahkamah untuk bertindak dalam masa nyata untuk menghalang pembunuhan beramai-ramai daripada berterusan di Gaza dengan mengeluarkan injunksi segera.

"Kami percaya bahawa tanpa campur tangan mahkamah ini (ICJ) dan masyarakat antarabangsa, kita akan melihat kemusnahan total rakyat Palestin di Gaza," kata Lamola.

Dalam masa sama, Lamola menyatakan harapannya pendengaran kes itu akan menghalang tentera Israel di Gaza daripada meneruskan tindakan selain memberitahu, berkemungkinan mereka juga dipanggil untuk memberi keterangan secara individu di hadapan mahkamah suatu hari nanti.

Menteri Kehakiman itu turut memberitahu wartawan bahawa Afrika Selatan telah mengemukakan "hujah yang menarik" kepada mahkamah berdasarkan fakta dan "perundangan."

Beliau berkata, naluri kerajaannya juga optimis barisan hakim ICJ akan melaksanakan "tugas secara profesional" dalam mencapai keputusan.

Lamola juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan jurucakap Kementerian Luar Israel, Lior Haiat bahawa Afrika Selatan adalah "sayap undang-undang" Hamas, sambil menegaskan bahawa delegasi Afrika Selatan hanya mempunyai mandat daripada kerajaan Afrika Selatan.

“Kes kami juga bukan terhadap orang Yahudi sebagai satu kaum. Kes kami menentang tindakan negara Israel, tindakan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan di Gaza,” tegas Lamola. - CNN