AL-BAB, SYRIA: Kem yang menempatkan pelarian Syria di beberapa kawasan di Al-Bab, Azaz dan Afrin, sekitar utara Syria, mengalami keadaan suhu sejuk beku ketika ini.

Terdapat banyak khemah musnah dan rosak serta keadaan jalan berlopak akibat hujan, juga menambah derita kepada pelarian yang terpaksa mengharungi kehidupan yang sukar.

Dalam usaha membersihkan khemah yang didiami, pelarian Syria memerlukan sokongan dan bantuan daripada pelbagai organisasi untuk sekurang-kurangnya kekal bernyawa.

Tinjauan Astro AWANI di kem pelarian Zamka mendapati, mereka mengutip apa saja barangan termasuk sampah yang mampu dijadikan bahan bakar untuk menghasilkan haba bagi memanaskan badan.

Ini mengundang kepada satu lagi risiko iaitu asap tebal dan berbahaya yang boleh mengakibatkan sesak nafas dan kebakaran khemah yang dipasang secara bersebelahan atau bersambungan.

Terdapat 125 keluarga tinggal di kem tersebut sejak lima tahun lalu. Mereka melarikan diri dari Aleppo akibat pengeboman yang berterusan di kawasan tersebut.

Khemah di kem pelarian Zamka dipasang secara bersebelahan atau bersambungan. - Foto Astro AWANI/AFiezy Azaman

Menurut Hasan Hamid al-latfo, 30 tahun, ramai di kem berkenaan tidak bekerja, sekali gus menyukarkan mereka membeli barangan keperluan harian serta alatan pemanas bagi mengharungi musim sejuk.

"Terdapat anggaran 300 kanak-kanak di sekitar kem ini dan mereka tidak mempunyai baju sejuk atau kasut bertutup untuk dipakai ke sekolah. Mereka juga sering jatuh sakit akibat cuaca yang ekstrem.

"Kali terakhir bantuan bakul makanan diberikan kepada kami ialah dua bulan lalu. Sejak itu, kami tidak menerima apa-apa bantuan daripada sebarang organisasi," katanya kepada Astro AWANI, pada Khamis.

Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), setakat Januari tahun lalu, terdapat seramai 13.3 juta penduduk di Syria yang memerlukan pelbagai bentuk bantuan kemanusiaan.

Situasi di Syria dikategorikan sebagai krisis pelarian terbesar di dunia pada zaman moden dengan 5.5 juta pelarian Syria berada di sekitar Turki, Lubnan, Jordan, Mesir dan Iraq.

Sementara itu, 6.7 juta lagi berada di Syria, namun hidup sebagai pelarian.