KUALA LUMPUR: Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM) Malaysia telah membuka tabung bantuan bagi menyokong pelarian Palestin di Lubnan, susulan kemelut konflik yang berterusan di Asia Barat.
Pengerusi KHOM Malaysia, Nik Marina Hussin, berkata wakil mereka di Lubnan melaporkan bahawa kebanyakan penduduk sedang menyelamatkan diri daripada bedilan roket Israel.
Advertisement
“Kanak-kanak, golongan wanita dan warga emas melarikan diri dengan hanya sedikit bekalan atau sekadar sehelai sepinggang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk rekod, pada 22 hingga 23 Februari, KHOM Malaysia telah berada di Beirut untuk melawat kem pelarian Burj el-Barajneh dan kawasan berhampiran kem Ain al-Hilweh.
Ratusan pek makanan dan barangan keperluan asas untuk persediaan sepanjang bulan Ramadan telah diserahkan kepada warga pelarian ketika Misi Bantuan Waris Tragedi Nakbah.
Terdapat 12 kem pelarian di Lubnan yang menempatkan penduduk sejak peristiwa Nakbah 1948 yang kini bergelut dengan serangan rejim Zionis Israel ke atas beberapa wilayah di Lubnan sejak 3 Mac lalu.
Kementerian Kesihatan Lubnan mengesahkan hampir 968 rakyatnya terkorban manakala 2,423 cedera akibat serangan Israel dalam dua minggu terakhir.
Orang ramai yang ingin menderma boleh menyalurkan bantuan melalui nombor akaun yang disediakan bagi meringankan beban mangsa pelarian.
Menurut Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) terdapat hampir 170,000 pelarian Palestin berdaftar yang tinggal di Lubnan namun angka tidak rasmi menunjukkan dua kali ganda dari jumlah sebentar.