DUNIA
Kim Jong Un, anak perempuan tiba di Beijing hadiri perarakan tentera terbesar China

Kim Jong Un (empat dari kiri) dan anak perempuannya, Kim Ju Ae (lima dari kiri) disambut oleh pemimpin kanan Parti Komunis China sebaik tiba di Beijing dengan kereta api berperisai pada Selasa. - Gambar Reuters
BEIJING: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un tiba di Beijing bersama anak perempuannya, Kim Ju Ae, bagi menghadiri perarakan tentera terbesar yang pernah diadakan China sempena sambutan Victory Day, hari ini.
Beliau dijangka bergandingan dengan Presiden China, Xi Jinping; Presiden Rusia, Vladimir Putin serta puluhan pemimpin dunia lain dalam acara yang berlangsung di Dataran Tiananmen.
Foto yang disiarkan media menunjukkan Kim turun dari kereta api berperisai di Stesen Kereta Api Beijing ditemani Ju Ae.
Agensi perisikan Korea Selatan sebelum ini menyifatkan Ju Ae sebagai pewaris paling berpotensi menggantikan bapanya.Xi menganjurkan perarakan itu bagi memperingati ulang tahun ke-80 penyerahan rasmi Jepun pada akhir Perang Dunia Kedua.
Acara selama 70 minit itu bakal menampilkan kekuatan ketenteraan China termasuk ratusan pesawat, kereta kebal dan sistem anti-drone - buat pertama kali struktur ketenteraan baharu negara itu dipamerkan sepenuhnya.
Kehadiran Kim menandakan kali pertama seorang pemimpin Korea Utara menyertai perarakan tentera China dalam tempoh puluhan tahun.
Kali terakhir ia berlaku ialah pada 1959 apabila datuknya, Kim Il Sung, menghadiri acara serupa.
Selain Kim dan Putin, 26 ketua negara lain turut dijangka hadir termasuk dari Iran, Cuba, Indonesia, Malaysia, Myanmar dan Vietnam, mencerminkan usaha Beijing mengukuhkan hubungan dengan Asia Tenggara.
Media Barat melihat Xi cuba menonjolkan kekuatan diplomatik dan ekonomi China sebagai saingan Amerika Syarikat, sementara hubungan rapat beliau dengan Putin dikatakan simbol solidariti terhadap Rusia yang masih meneruskan perang di Ukraine.
Perjalanan Kim ke China menggunakan kereta api berperisai itu turut menarik perhatian.
Tradisi itu diwarisi daripada datuknya, Kim Il Sung, yang gemar melakukan lawatan rasmi dengan kereta api, manakala ayahnya, Kim Jong Il, dilaporkan takut menaiki pesawat.
Menurut laporan media Korea Selatan, tren berkenaan mempunyai kira-kira 90 gerabak lengkap dengan bilik persidangan, ruang tetamu dan bilik tidur.
Kim sebelum ini jarang ke luar negara.
Hubungan terbaharunya dengan pemimpin dunia terbatas kepada Putin, yang ditemuinya dua kali sejak Rusia melancarkan pencerobohan penuh ke atas Ukraine pada 2022.
Beliau kali terakhir menjejakkan kaki ke Beijing pada 2019 sempena ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik kedua-dua negara. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami