PYONGYANG: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, mengeluarkan amaran keras bahawa negaranya bersedia untuk memusnahkan sepenuhnya Korea Selatan sekiranya kedaulatan dan keselamatan wilayahnya terancam.
Berucap pada majlis penutup Kongres ke-9 Parti Pekerja Korea (WPK) di Dataran Kim Il Sung, beliau menyifatkan Seoul sebagai musuh paling nyata dan secara rasmi menolak sebarang usaha dialog atau penyatuan semula dengan melabelkan dasar pendamaian Korea Selatan sebagai satu penipuan.
Advertisement
Menurut laporan media rasmi Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), Kim menegaskan bahawa status negaranya sebagai kuasa nuklear kini telah diperkukuh sepenuhnya melalui pembangunan senjata yang pesat.
Beliau menyeru kepada penghasilan sistem ketenteraan baharu yang lebih canggih, termasuk peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) pelancaran bawah air, dron penyerang berasaskan kecerdasan buatan (AI), serta satelit pengintip bagi melumpuhkan pusat arahan musuh.
Kim turut menyatakan kesediaan untuk berunding dengan Amerika Syarikat, namun dengan syarat Washington menghentikan dasar bermusuhan dan mengiktiraf status nuklear Pyongyang.
Kementerian Penyatuan Korea Selatan dalam pada itu menyifatkan retorik tersebut sebagai sesuatu yang malang, manakala pihak tentera Seoul kini berada dalam kesiapsiagaan tinggi untuk menangkis sebarang kemungkinan provokasi.
Ketegangan di Semenanjung Korea dijangka terus memuncak menjelang latihan ketenteraan tahunan antara Amerika Syarikat dan Korea Selatan pada Mac depan.
Penampilan anak perempuan beliau, Kim Ju Ae, dalam perarakan ketenteraan besar-besaran tersebut turut menarik perhatian pemerhati antarabangsa sebagai simbol kesinambungan kepimpinan di negara tersebut.