Kim Jong Un pantau ujian peluru berpandu altitud tinggi

Peluru berpandu jarak jauh permukaan-ke-udara dilancarkan berhampiran pantai timur Korea Utara pada Rabu, menurut gambar yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) pada 25 Disember 2025.
SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, dilaporkan memantau ujian pelancaran peluru berpandu jarak jauh permukaan-ke-udara di sebuah tapak berhampiran pantai timur negara itu pada Rabu, menurut agensi berita rasmi KCNA.
Ujian berkenaan bertujuan menilai teknologi strategik negara itu bagi membangunkan peluru berpandu altitud tinggi baharu, yang berjaya memusnahkan sasaran di udara sejauh 200 kilometer, lapor KCNA.
Selain itu, Kim turut meninjau kerja pembinaan di sebuah tapak berasingan bagi kapal selam berkuasa nuklear seberat 8,700 tan yang mampu melancarkan peluru berpandu permukaan-ke-udara.
KCNA, bagaimanapun, tidak mendedahkan lokasi atau tarikh lawatan tersebut.
Projek kapal selam itu adalah sebahagian daripada usaha parti pemerintah Korea Utara untuk memodenkan angkatan laut negara itu, yang merupakan salah satu daripada lima dasar utama bagi memperkukuh keupayaan pertahanan, menurut KCNA.
Kim menegaskan, pembangunan menyeluruh keupayaan nuklear dan pemodenan angkatan laut adalah penting dan tidak dapat dielakkan, memandangkan “dunia ketika ini sama sekali tidak aman.”
Beliau turut menyatakan rancangan Korea Selatan untuk membangunkan kapal selam nuklear bersama Washington akan meningkatkan ketegangan di Semenanjung Korea dan menjadi ancaman keselamatan negara yang memerlukan tindakan segera.
Dalam laporan berasingan, KCNA memaklumkan, Presiden Rusia, Vladimir Putin, menghantar mesej kepada Kim pada 18 Disember sempena sambutan Tahun Baharu.
Putin menyatakan tahun 2025 mempunyai “makna istimewa” dalam hubungan antara Moscow dan Pyongyang.
Mesej itu turut menyebut penyertaan “heroik” tentera Korea Utara dalam peperangan di wilayah Kursk, Rusia, sebagai bukti jelas persahabatan yang tidak dapat digugat antara kedua-dua negara, menurut KCNA. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


