Kira-kira separuh pengundi Jepun tidak menyokong pentadbiran Perdana Menteri Shinzo Abe susulan isu kronisme dan ketelusan maklumat, menurut satu tinjauan pendapat oleh media tempatan.

Agensi berita Reuters melaporkan, kaji selidik oleh akhbar The Yomiuri pada Isnin menunjukkan kadar bantahan terhadap Kabinet Abe meningkat kepada 50 peratus sejak awal Mac.

Dalam kaji selidik yang sama oleh agensi berita Kyodo yang diterbitkan pada Ahad, tahap ketidakpercayaan itu adalah 47.5 peratus.

Tinjauan Kyodo mendapat kadar sokongan kepada Kabinet menunjukkan sedikit peningkatan iaitu menjadi 42.4 peratus, sementara tinjauan pendapat Yomiuri menunjukkan pengurangan 6 mata kepada 42 peratus.

Kedua-dua tinjauan pendapat itu dilakukan sepanjang tempoh antara 31 Mac hingga 1 April.

Tinjauan pendapat itu dibuat susulan testimoni oleh bekas pegawai menteri kewangan, Nobuhisa Sagawa, yang menyatakan bahawa Abe mahupun isterinya tidak terlibat dalam skandal penjualan tanah milik negara kepada pengusaha sekolah, atau penglibatan Kementerian Kewangan dalam mengubah suai dokumen perjanjian.

Perubahan ketara dalam peratusan kepercayaan pengundi terhadap Abe dijangka menjejaskan prospek beliau untuk terus menyandang jawatan presiden Parti Demokratik Liberal bagi penggal ketiga.

Kemenangan mengekalkan jawatan itu, jika berjaya dipertahankan, bakal meletakkannya sebagai perdana menetri paling lama dalam perkhidmatan.

Abe sudah menyandang jawatan perdana menteri di Negara Matahari Terbit itu sejak tahun 2012.