HAMPIR satu per tiga daripada spesies pokok di seluruh dunia kini diancam kepupusan, manakala ratusan lagi pada bila-bila masa akan lenyap, menurut laporan yang diterbitkan Konservasi Taman Botanik Antarabangsa (BGCI) pada Rabu, yang dipetik Reuters.

Berdasarkan laporan State of the World's Trees, 17,500 spesies pokok, iaitu kira-kira 30 peratus keseluruhannya sedang dalam risiko kepupusan, manakala 440 spesies lain hanya tinggal kurang daripada 50 setiap satu di habitat semula jadi.

Secara umumnya, bilangan spesies pokok yang terancam adalah dua kali ganda berbanding gabungan spesies mamalia, burung, amfibia dan reptilia yang terancam.

"Laporan ini adalah satu peringatan kepada semua orang di seluruh dunia, bahawa pokok-pokok perlukan perhatian dan bantuan,” ujar Setiausaha Agung BGCI, Paul Smith.

Antara pokok yang paling dalam risiko termasuk magnolia dan dipterocarp – yang lazimnya ditemui di hutan hujan Asia Tenggara. Pokok oak, maple dan ebony (pokok kayu hitam) juga berdepan ancaman.

Pokok-pokok berfungsi menyokong ekosistem semula jadi dan sangat penting untuk menangani masalah pemanasan global dan perubahan iklim. Pupusnya satu spesies pokok berkemungkinan membuatkan banyak spesies lain turut menerima nasib yang sama.

“Setiap pokok sangat penting, untuk jutaan spesies lain yang bergantung pada kewujudannya, dan juga kepada manusia di seluruh dunia,” tambah Smith.

Ribuan jenis pokok di enam negara dengan diversiti pokok tertinggi dunia kini berdepan kemungkinan kepupusan. Jumlah paling besar direkodkan di Brazil, dengan 1,788 spesies dalam ‘bahaya’.

Lima lagi negara adalah Indonesia, Malaysia, China, Colombia dan Venezuela.

Tiga ancaman terbesar yang dihadapi spesies tumbuhan adalah akibat aktiviti pengeluaran pertanian, penebangan pokok balak dan tapak operasi haiwan ternak, sementara faktor perubahan iklim dan cuaca ekstrem kini menjadi ancaman yang semakin meningkat.

Sekurang-kurangnya 180 spesies pokok sedang diancam secara langsung akibat kenaikan paras laut dan cuaca melampau, kata laporan itu, terutamanya spesies yang berada di pulau-pulau, seperti magnolia di Caribbean.

Walaupun negara-negara mega-diversiti mencatatkan jumlah besar bagi jenis pokok yang diancam kepupusan, spesies yang berada di pulau lebih ketara ancamannya.

“Ini sangat membimbangkan kerana banyak pulau mempunyai spesies unik yang tidak ditemui di tempat-tempat lain,” tambah laporan itu.