Beberapa pihak berkuasa perbandaran telah mengehadkan kerja penggerudian baharu dan menggesa usaha penjimatan air, namun belum ada penyelesaian jangka panjang ketika lonjakan pelancongan yang menyokong ekonomi negara itu masih berterusan, lapor Kyodo News.
"Paras air semakin menurun, tetapi kolam air panas masih beroperasi," kata Datuk Bandar Ureshino, Daisuke Murakami, dalam sidang media tergempar akhir Januari.
Beliau menambah bahawa pegawai bandar mengambil situasi ini dengan serius selepas purata paras air di sumber kolam air panas pusat peranginan Ureshino, antara destinasi pelancongan utama di Wilayah Saga, mencatat paras terendah dalam sejarah iaitu 40.8 meter tahun lepas.
Pihak berkuasa wilayah itu mengaitkan kemerosotan itu dengan peningkatan permintaan susulan perkhidmatan kereta api laju Shinkansen ke kawasan berkenaan, yang membawa lebih ramai pengunjung.
Mereka menggesa pengusaha onsen mengehadkan kadar pengambilan air harian serta beberapa hotel mengawal penggunaan tab mandi dalam bilik pada waktu malam bagi membolehkan paras air pulih secara beransur-ansur.
Kolam air panas di beberapa wilayah lain turut menghadapi cabaran serupa, menurut laporan itu.
Kerajaan tempatan telah menetapkan had bagi kerja penggerudian baharu dan menggalakkan usaha penjimatan air, namun kebimbangan kekal bahawa langkah-langkah ini mungkin tidak mencukupi untuk mengekalkan bekalan air, terutama dengan kemasukan pelancong asing yang berterusan.
Pakar memberi amaran bahawa pengambilan air secara berlebihan menjadi punca utama kemerosotan paras air.
Seorang penyelidik kanan di Pusat Penyelidikan Kolam Air Panas Jepun menekankan keperluan pendekatan saintifik dalam pengurusan sumber itu, dengan berkata: "Pemantauan paras air menggunakan data untuk mengurangkan pembaziran adalah amat penting."
Bilangan pelancong asing ke Jepun mencecah lebih 36 juta pada 2024, satu rekod baharu, didorong oleh kejatuhan nilai yen dan penyambungan semula laluan penerbangan selepas pandemik COVID-19, menurut data kerajaan pusat awal tahun ini.
-- BERNAMA
