Skip to main content

Dunia

[KOLUMNIS] Bunuh Khameini: AS dan Israel terperangkap dalam percaturan

Aftermath of an Israeli and the U.S. strike on a police station, amid the U.S.-Israel conflict with Iran, in Tehran, Iran, March 2, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS PICTURE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY
Perkembangan terkini menunjukkan dimensi konflik bukan sekadar antara Iran-AS dan Israel, tetapi turut melibatkan percaturan kuasa serantau yang lebih luas. -Gambar fail/Reuters

ISRAEL dan Amerika Syarikat (AS) semakin tersepit kerana tersilap percaturan memulakan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu.

Di dalam sebuah negara ‘teokratik’ pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei bersama tokoh penting lain menjadi peluang untuk pengikutnya rebut bagi mati ‘syahid’.

Advertisement

Bagi mereka tokoh berkenaan bukan diktator seperti yang dilabel Barat tetapi pemimpin sah dan mempunyai autoriti tertinggi agama.

Meskipun berbeza pendapat mengenai mazhab dan akidah, serangan yang dibuat pada bulan yang dimuliai juga mendapat simpati umat Islam dan masyarakat antarabangsa lain.

Dua sekutu jahat itu mungkin menyangka dengan menamatkan hayat pemimpin tertinggi Syiah dan kepimpinan lain akan menyebabkan rejim yang ada akan memasuki fasa runtuh dan membuka peluang kepada mereka masuk seperti yang dibuat di Iraq dan Libya sebelum ini.

Namun realiti yang perlu ditanggung, ia tidak semudah seperti yang dirancang dan pelakunya kini berdepan dengan segala akibat atas perbuatan yang dilakukan.

Khamenei telah tiada tetapi semangat atau impak yang ditinggalkan jauh lebih kuat kerana beliau dibunuh pada bulan Ramadan oleh pihak yang selama ini menjadi seteru mereka.

Apa yang menjadi persoalan, adakah Iran dapat dibebas mengikut kehendak AS dan Zionis selepas Khameini dibunuh?

Dua negara pengganas ini perlu ingat rakyat negara itu tidak mudah lupa perjalanan politik mereka.

Sejarah politik Iran moden tidak dapat dipisahkan daripada peristiwa penggulingan Perdana Menteri Mohammad Mosaddegh pada tahun 1953 melalui rampasan kuasa yang disokong CIA dan MI6.

Walau pun beliau berideologi sekular dan berbeza dengan Khamenei, penggulingannya akibat campur tangan asing meninggalkan kesan mendalam dalam memori kolektif rakyat Iran.

Selepas itu, kuasa diberikan kepada Mohammad Reza Pahlavi sebagai Shah Iran, yang memerintah dalam sistem monarki mutlak.

Harapan yang beliau membawa perubahan tidak menjadi kenyataan sebaliknya ramai rakyat merasakan mereka terperangkap di bawah pemerintahan autoritarian sehingga tercetusnya Revolusi Iran pada tahun 1979.

Kini, nama Reza Pahlavi kembali disebut sebagai calon alternatif yang didakwa mendapat sokongan pihak tertentu di Barat.

Bagi sebahagian rakyat Iran, usaha mengangkat semula legasi monarki berpotensi membangkitkan kembali kemarahan dan luka lama.

Dalam keadaan diasak dalam pelbagai sudut, aparatus propaganda rejim tidak perlu mencipta naratif baharu kerana sejarah telah mengajar rakyat Iran tentang wajah sebenar mafia dunia ini.

Naratif yang cuba didominan di Barat yang Khamenei sudah mati dan terdapat rakyat Iran meraikannya juga tidak mendapat reaksi masyarakat antarabangsa dan kalangan pejuang hak asasi manusia kerana cara yang dibuat oleh AS dan sekutu Israelnya pada 28 Februari lalu.

Apa pun alasan, kedua pihak yang gila kuasa ini telah bertanggungjawab melakukan genosid pada hari pertama serangan yang mana lebih 165 orang kebanyakan pelajar perempuan terbunuh di Minab, selatan Iran selepas menjadi sasaran peluru berpandu.

Selepas Perang 12 Hari dengan Iran pada tahun lalu, 28 Februari menyaksikan sekali lagi serangan udara besar-besaran dilancarkan Tehran ke atas negara Zionis serentak dengan kepentingan AS di Asia Barat.

Sejak penubuhan negara haram Israel pada 1948, ia paling teruk dilancarkan.

Skala kemusnahan yang tidak dijangka dengan angka kematian yang masih dirahsiakan, Tel Aviv kini cuba menukar naratif dengan mendakwa orang awam menjadi sasaran dan tindakan Iran bercanggah dengan Konvensyen Geneva.

Sejak bila rejim Zionis mematuhi konvensyen antarabangsa? Lebih 72,000 nyawa di Gaza menjadi mangsa genosid sampai ke saat ini itu apa?

Selain Israel, satu lagi negara Arab dikatakan telah memainkan peranan penting yang mendorong AS melaksanakan misi yang tertangguh sejak lebih 40 tahun lalu ke atas Iran.

Di dalam berita yang disiarkan di Washington Post, Presiden AS, Donald Trump mengakui keputusan untuk melancarkan serangan dibuat selepas dilobi berkali-kali oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman.

Kini negara Teluk yang selama ini berasa selamat dengan kewujudan pangkalan tentera AS terpaksa menerima kenyataan yang mereka tidak dapat lari daripada menanggung bersama perang yang berlaku.

Iran telah mengotakan janjinya akan memusnah mana-mana pangkalan tentera musuh di negara jiran.

Ketika berdepan dengan kemusnahan akibat serangan balas oleh Tehran, seorang pegawai Arab Saudi mengadu kepada Al Jazeera mengenai wajah sebenar Trump kerana membelakangkan Negara Teluk dan mengalihkan sistem pertahanan udaranya demi melindungi Israel. 

Perkembangan terkini menunjukkan dimensi konflik bukan sekadar antara Iran-AS dan Israel, tetapi turut melibatkan percaturan kuasa serantau yang lebih luas kerana apa yang berlaku pada bukan sekadar episod ketenteraan, tetapi titik perubahan yang berpotensi mengubah keseimbangan kuasa di Asia Barat dan dunia.


Razali Awang ialah perunding media Alkhair Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video