Skip to main content

Dunia

Putin, Trump bincang krisis Iran, Ukraine dalam perbualan telefon – Kremlin

US President Donald Trump speaks with Russian President Vladimir Putin, as they meet to negotiate for an end to the war in Ukraine, at Joint Base Elmendorf-Richardson in Anchorage, Alaska, on Aug 15, 2025. (Photo: REUTERS/Kevin Lamarque)
Presiden Putin (kiri) dan Presiden Trump memberi perhatian khusus terhadap situasi melibatkan Iran dan kawasan Teluk Parsi semasa mengadakan perbincangan di telefon pada Rabu. - Gambar fail Reuters

MOSCOW: Presiden Rusia, Vladimir Putin, mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Rabu (29 April), dengan kedua-dua pemimpin membincangkan perang di Asia Barat serta konflik di Ukraine, menurut pembantu Kremlin, Yuri Ushakov.

Perbualan yang berlangsung lebih 90 minit itu disifatkan sebagai “terbuka dan bersifat profesional”, kata Ushakov kepada pemberita, termasuk AFP, dalam satu sidang taklimat telefon.

Advertisement

Menurutnya, kedua-dua Presiden memberi perhatian khusus terhadap situasi melibatkan Iran dan kawasan Teluk Parsi.

Ushakov berkata, Putin menganggap keputusan Trump untuk melanjutkan gencatan senjata dengan Iran sebagai langkah tepat kerana ia memberi ruang kepada rundingan serta membantu menstabilkan keadaan secara keseluruhan.

Bagaimanapun, Putin turut menegaskan, sebarang tindakan ketenteraan sekali lagi oleh AS dan Israel akan membawa kesan yang tidak dapat dielakkan serta amat merosakkan, bukan sahaja kepada Iran dan negara jiran, malah kepada seluruh komuniti antarabangsa.

Beliau menambah, Rusia kekal komited untuk memberikan segala bantuan yang diperlukan bagi menyokong usaha diplomatik berkaitan perang di Asia Barat, dan menjelaskan perbualan tersebut diadakan atas inisiatif Moscow.

Di Washington, Trump memberitahu wartawan bahawa beliau mengadakan “perbualan yang sangat baik” dengan Putin, namun mengakui perbincangan itu lebih tertumpu kepada konflik di Ukraine berbanding isu Iran.

Trump turut berkata, Putin mahu membantu menamatkan perang AS-Israel terhadap Iran, namun beliau menegaskan kepada pemimpin Rusia itu agar menamatkan terlebih dahulu pencerobohan ke atas Ukraine.

Tawaran gencatan senjata Ukraine

Ushakov turut memberi taklimat kepada wartawan mengenai perbincangan kedua-dua pemimpin berhubung perang di Ukraine, yang kini memasuki tahun kelima sejak Rusia melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas negara jiran itu pada Februari 2022.

Menurut Ushakov, atas permintaan Trump, Putin telah menerangkan situasi semasa di sepanjang garisan pertempuran, dengan menetapkan bahawa tentera Rusia masih memegang kelebihan strategik serta terus menolak kedudukan pihak lawan.

Kedua-dua Putin dan Trump, katanya, berkongsi penilaian yang hampir sama terhadap tindakan kerajaan Kyiv di bawah pimpinan Presiden Volodymyr Zelenskyy, yang didakwa, dengan dorongan serta sokongan negara Eropah, mengamalkan dasar untuk memanjangkan konflik.

Serangan Rusia ke atas Ukraine telah memusnahkan sebahagian besar wilayah negara itu, mengorbankan ribuan orang awam serta memaksa jutaan penduduk meninggalkan kediaman mereka.

Ushakov berkata, Putin menyatakan kesediaannya untuk mengisytiharkan gencatan senjata sepanjang sambutan Hari Kemenangan. 

Trump pula dilaporkan menyokong inisiatif itu secara aktif, sambil menyifatkan perayaan tersebut sebagai simbol kemenangan bersama.

Setiap tahun, Rusia menyambut Hari Kemenangan pada 9 Mei bagi memperingati kejayaan Kesatuan Soviet menewaskan Nazi Jerman dalam Perang Dunia Kedua, yang diraikan dengan perarakan ketenteraan di pusat bandar Moscow.

Bagaimanapun, Kremlin memaklumkan sambutan tahun ini akan dilaksanakan dalam skala lebih kecil sebagai langkah berjaga-jaga berikutan ancaman serangan balas oleh Ukraine. - Agensi

Must Watch Video