DALAM sistem antarabangsa moden, prinsip kedaulatan negara merupakan prasyarat utama kepada kestabilan global. Ia bukan sekadar norma politik yang diterima pakai, tetapi merupakan mandat perundangan yang termaktub secara substantif dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Artikel 2(4) Piagam PBB secara eksplisit melarang sebarang ancaman atau penggunaan kekerasan (use of force) terhadap integriti wilayah atau kedaulatan politik sesebuah negara.
Dalam konteks ini, sebarang tindakan ketenteraan secara unilateral oleh Amerika Syarikat mahupun Israel terhadap Iran perlu dinilai melalui kanta legitimasi antarabangsa. Tanpa mandat daripada Majlis Keselamatan PBB (UNSC) atau ketiadaan asas pembuktian "pertahanan diri" yang sah di bawah Artikel 51, sebarang operasi ketenteraan adalah pencabulan serius terhadap rule-based international order. Masyarakat dunia tidak seharusnya membiarkan doktrin lama tamadun barat "might is right" kembali mendominasi politik global pasca-Prang Dunia Kedua.
Advertisement
Artikel 51 Piagam PBB mengiktiraf hak semula jadi (inherent right) setiap negara untuk mempertahankan diri sekiranya berlaku serangan bersenjata. Secara jurisprudens, sekiranya Iran menjadi subjek kepada serangan secara langsung, Tehran memiliki legitimasi di bawah undang-undang antarabangsa untuk melancarkan tindak balas.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan hak ini tertakluk kepada dua prinsip fundamental dalam jus ad bellum: keperluan (necessity) dan kadar seimbang (proportionality). Sebarang bentuk pembalasan (reprisal) tidak boleh melampaui skala ancaman asal dan wajib mematuhi prinsip perbezaan (distinction) serangan ke atas mereka yang terlibat dalam perang bagi mengelakkan sasaran terhadap keseluruhan populasi serta infrastruktur awam.
Duluan Berbahaya: Normalisasi Pembunuhan Elit Politik
Tindakan menyasarkan dan membunuh ketua negara atau pimpinan tertinggi dalam operasi ketenteraan terancang merupakan satu tindakan yang mencabar norma antarabangsa secara jelas. Fenomena ini bukan sahaja menghina prinsip kedaulatan, malah berisiko melembagakan satu duluan berbahaya: di mana kuasa hegemoni mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan keabsahan kepimpinan negara lain melalui "politik pembunuhan" (assassination politics).
Normalisasi amalan ini akan meruntuhkan sistem Westphalia yang menjadi teras kepada kesaksamaan kedaulatan negara (sovereign equality of states). Sejarah kontemporari telah membuktikan bahawa doktrin pertukaran rejim (regime change) melalui kekerasan sering kali meninggalkan kesan kemusnahan. Pengalaman di Libya pasca-Muammar Gaddafi dan Iraq pasca-Saddam Hussein adalah bukti jelas bagaimana penghancuran struktur kepimpinan nasional mengakibatkan vakum kuasa, perang saudara yang berlarutan, dan kegagalan negara (state failure).
Antara Kuasa Hegemoni dan Undang-Undang Antarabanga
Dalam teori Hubungan Antarabangsa, tindakan unilateral kuasa besar sering kali dijelaskan melalui lensa hegemoni. Meskipun kuasa hegemoni memiliki keunggulan dari segi keupayaan ketenteraan, ekonomi, dan teknologi, keunggulan tersebut tidak secara automatik diterjemahkan sebagai legitimasi moral atau perundangan.
Undang-undang antarabangsa tidak pernah memberikan "lesen besar" kepada mana-mana negara atau kuasa untuk mencabul kedaulatan negara lain atas dasar pertimbangan strategi geopolitik semata-mata. Kegagalan untuk mengekang aspirasi hegemoni ini hanya akan mempercepatkan hakisan terhadap sistem kolektif yang selama ini berfungsi menghalang anarki mengambil alih tatakelola antarabangsa.
Survival dan Kedaulatan Iran
Menggunakan kerangka Teori Realisme, objektif primer bagi setiap negara adalah kelangsungan hidup (survival). Iran, yang melihat dirinya berada dalam persekitaran yang penuh permusuhan, kemungkinan besar menganggap pengalaman Iraq dan Libya sebagai amaran strategik.
Logik survival ini menetapkan bahawa kelemahan atau sikap akomodatif yang berlebihan terhadap tekanan luar bukan sahaja tidak menjamin keamanan, malah boleh mengundang kehancuran struktur kenegaraan. Justeru, tekanan ketenteraan yang meningkat terhadap Tehran berkemungkinan besar akan meningkatkan tindak balas yang lebih padu dan menambah kapasiti pertahanan secara drastik sebagai mekanisme imbangan kuasa (balance of power). Ini bukan soal pilihan lagi. Ini adalah soal kelangsungan hidup sebuah negara yang merdeka. Bagi Iran, ancaman ketenteraan dan pembunuhan pemimpin mereka tidak akan ditangani dengan menyerah kalah, sebaliknya dengan peningkatan kesiapsiagaan strategik.
Satu kesilapan taktikal kuasa besar adalah menganggap pembunuhan elit politik akan melumpuhkan jentera Tehran. Hakikatnya, Iran telah membina sistem pertahanan yang bersifat institusi. Kehilangan pimpinan tertinggi sering kali bertindak sebagai pemangkin kepada eskalasi operasi ketenteraan sebagai mekanisme untuk menutup sebarang persepsi kelemahan. Justeru, jika berlaku peningkatan serangan atau operasi ketenteraan Iran ke atas lokasi kepentingan starategik US dan Israel adalah satu tindakan rasional bagi Iran untuk memulihkan Kredibiliti Pencegahan (Restoring Deterrence) mereka. Kesannya ialah kemungkinan rantau Asia Barat akan mengalami perang skala lebih besar dan lama selepas ini.
Krisis yang melanda Iran hari ini merupakan ujian getir terhadap integriti institusi antarabangsa. Jika penggunaan kekerasan tanpa mandat sah diterima sebagai norma baharu dalam hubungan antara negara, maka dunia secara rasminya sedang melangkah kembali ke era anarki kuasa besar yang tidak terkawal. Penyelesaian yang mampan bukan melalui serangan ketenteraan atau pembunuhan kepimpinan, tetapi melalui pengaktifan jalur diplomasi, penghormatan terhadap kedaulatan wilayah, dan kepatuhan mutlak kepada Piagam PBB. Keadilan antarabangsa mestilah berteraskan prinsip kesaksamaan dan kemanusiaan, bukannya atas dasar dominasi ketenteraan yang bersifat hegemonik.
* Artikel ini tulisan Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh dari Fakulti Undang -Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.