DUNIA
[KOLUMNIS] Membaca peristiwa Indonesia dari sudut pandang Tunisia ketika "Arab Spring"
![[KOLUMNIS] Membaca peristiwa Indonesia dari sudut pandang Tunisia ketika "Arab Spring" [KOLUMNIS] Membaca peristiwa Indonesia dari sudut pandang Tunisia ketika "Arab Spring"](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-09/51757152585_protesarab.jpg)
Pelajar universiti memegang poster melaungkan slogan semasa tunjuk perasaan di luar bangunan parlimen Indonesia, di Jakarta. - Gambar Reuters/Willy Kurniawan
INDONESIA dan Tunisia, dua geografi berbeza. Indonesia di Asia Tenggara, Tunisia di rantau Afrika Utara.
Protes di Indonesia berlaku sekarang, Tunisia di mana pencetus Arab Spring bermula, terjadi pada 2010. Ia rentang masa berbeza 15 tahun.
Namun, jika kita senada, Indonesia dan Tunisia, ia bertemu pada satu titik sama - titik maruah dan rezeki, lebih khusus ekonomi perut rakyat.
Indonesia ada Affan Kurniawan; Tunisia bergegar membawa kesan domino kerana watak bernama Mohamed Bouazizi.Perlu diingat dalam konteks peristiwa di Indoensia, sudah banyak tulisan, analisis tentang apa yang berlaku di negara jiran itu. Punca, persimpangan politik dan berapa lama lagi hayat pemimpin ada, selain menyamakannya dengan Reformasi 1998, semuanya dikupas dengan tuntas oleh pakar serta pengamat politik tempatan dan Asia Tenggara.
Namun, tulisan ini cuba membawa sudut pandang yang sedikit berbeza, iaitu mahu menyegarkan ingatan kepada persamaan di rantau lain untuk menjadi pengajaran bersama, apalagi ketika mana waktu ini apa yang terjadi di Indonesia seolah-olah bagaikan sukar dikawal-kawal lagi.
Dan pada akhirnya, ia penting untuk diinsafi bersama, bahawa, politik sesebuah negara itu bergerak kerana entiti penting iaitu rakyat. Jika perut rakyat dipelihara, prinsip keadilan diutama, perjalanan politik sesebuah negara akan bertahan. Ia sudah banyak berlaku dan terbukti di beberapa negara dunia.
Untuk melihat Indonesia dari sisi Tunisia, pertimbangkan ini dahulu. Plot cerita sama, di Tunisia dan Indonesia.
Mari kita segarkan ingatan kepada apa yang berlaku di Tunisia, pada 2010 di mana ia digelar Revolusi Jasmin, yang kemudiannya menumbuhkan Arab Spring kerana merebak ke negara jiran di Asia Barat - Mesir, Bahrin, Yaman, Syria.
Bahawa kisah di Tunisia bermula dengan kesukaran hidup Bouazizi yang tinggal di desa miskin, Sidi Buazid namanya.
Kerja Bouazizi menjual buah, menampung bekal keluarga, menyuap beberapa nyawa di dalam rumahnya.
Barangkali silapnya Bouzizi, menjual buah tetapi tiada permit, yang membuatkan Faida Hamdi, seorang penguatkuasa tegas, merampas barangan jualannya.
Bouzizi kemudiannya ke balai polis untuk mengambil semula barangannya tetapi tidak diendahkan - tiga kali dia berbuat demikian - tetap tidak dipedulikan. Mahu jumpa gabenor juga tidak dilayan sama sekali.
Akhirnya, pada pagi pertengahan Disember 2010, Bouazizi menyimbah minyak dan membakar dirinya. Kebetulan, sepupunya, Ali Bouzizi mendapat khabar itu dan membawa bersama gajet - telefon Samsung dan merakam insiden itu dan protes kemudiannya.
Video rakaman dihantar ke stesen televisyen Arab dan Al-Jazeera selain memuat naik kronologi peristiwa ke laman Facebook. Yang tersebar kemudiannya, hanya kemarahan, meledak di jalanan menukar menjadi protes besar-besaran. Ia merebak ke seluruh Tunisia. Beribu-ribu orang senada turun ke jalanan,sokong perjuangan melawan ketidakadilan penguasa.
Asalnya, Presiden Tunisia ketika itu Zine El Abidine Ben Ali menghantar polis untuk tangani kumpulan penunjuk perasaan. Beliau juga melawat Bouazizi pada 28 Disember di hospital. Ben Ali juga memecat dan menghukum pegawai yang merampas hasiljualan Bouazizi. Bagaimanapun, Bouazizi hilang nyawa beberapa hari kemudian dan Ben Ali juga melarikan diri dan akur untuk turun kuasa selepas beberapa dekad mentadbir, kesan daripada kemarahan mega di jalanan.

Nah, hampir sama bukan dengan Indonesia?
Begini. Di Indonesia, asalnya, percikan kemarahan adalah joget, simbol hiburan biasa, tetapi digunakan sebagai naratif untuk mengaitkan rasa tidak prihatin kerajaan dengan kesengsaraan rakyat yang ada di antaranya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Itulah sifat protes sekarang - tanda rakyat membalas balik apa yang mereka rasa dengan perbuatan wakil yang mereka pilih.
Di dalam begitu banyak buku - ia seringkali mengenai ekonomi dan keselamatan yang menggugat sesebuah kerajaan. Lihat saja negara jiran Thailand - soal keselamatan menyebabkan Perdana Menteri bertukar seperti berganti baju persalinan. Baik keselamatan mengenai isu Selatan Thailand dan pertikaian bersama Kemboja - isu keselamatan menyebabkan Thailand terjerumus dalam kancah politik yang bergelora sehingga ketua negara terpaksa akur dan turun puncak kuasa.
Bahawa, hal ekonomi juga begitu. Di sebalik cerita kejatuhan pemimpin Jepun misalnya, ada naratif “perut rakyat” dibentangkan, ungkapan yang mengaitkan betapa kelangsungan politik tidak pernah terpisah daripada isi dapur. Ekonomi yang gagal menjamin akses kepada makanan, perumahan dan perkhidmatan asas akan mengundang tindak balas kolektif. Di kebanyakan negara - Jepun sudah diberi sebagai contoh - protes makanan lazimnya bermula apabila garis merah iaitu “hak untuk hidup”—dirasakan dilanggar tanpa ada rasa prihatin oleh pemerintah.
Saya ke perpustakaan dan kebetulan ada kesempatan membaca naskhah James C. Scott, The Moral Economy of the Peasant (1976). Antara lain, buku itu memandu kita untuk sama-sama merasai bagaimana petani di Asia Tenggara menuntut “etika kelangsungan hidup” apabila struktur ekonomi menggugat keselamatan yang ada.
Scott berhujah, dalam bab pengenalan lagi bahawa kumpulan petani ini bangkit mempertahankan “hak untuk tidak lapar” di mana kerangka ini relevan untuk membaca amarah kelas pekerja di bandar-bandar besar yang bergelut dengan harga beras, pengangguran dan upah tidak sepadan dengan mereka.
Meneliti seterusnya naskhah itu, maka, moral ekonomi penunjuk perasaan (dibaca protes Indonesia dan Tunisia) boleh dikaitkan bahawa rusuhan makanan bukan anarki buta, sebaliknya celik menjadi simbol reaksi yang ada moral terhadap harga yang dianggap tidak adil dan manipulasi pasaran.
Kalau kita senada, konsep “politik perut” sering dihubungkan dengan Afrika, sebagai contoh oleh Jean-François Bayart melalui The State in Africa: The Politics of the Belly), namun, membaca Indonesia hari ini, solidariti terhadap Affan Kurniawan dan penolakan “kemewahan elit” menyerlahkan rasa keadilan yang dilanggar. Melihat cerminan sejarah Tunisia melalui Arab Spring pula sebagaimana di dalam The Great Transformation oleh Karl Polanyi, mengingatkan bahawa apabila pasaran terlepas daripada rangka sosial, masyarakat akan membalas balik untuk menundukkan pasaran kepada keperluan manusia.
"Protes Indonesia boleh difahami sebagai dorongan membalas balik, menuntut agar dasar fiskal dan simbol kuasa politik tunduk kepada keutamaan kesejahteraan rakyat, kata rakan saya, asal Indonesia, Junaidi Sabawan, kini pensyarah di sebuah kolej di Jakarta.

Baik. Kita kembali ke Tunisia di Afrika Utara. Nama Mohamed Bouazizi sebaris Affan Kurniawan. Tindakannya membakar diri sebagai protes terhadap penghinaan dan tekanan ekonomi mencetuskan Arab Spring, iaitu gelombang menuntut maruah, kerja dan keadilan sosial. Pada lapis lain, pengajarannya ialah apabila perut dan maruah terancam, protes walaupun kecil berupaya menyalakan perubahan serantau.
Jikalau plot cerita Indonesia dan Tunisia mirip, ada yang bertanya, apakah pengajarannya untuk Malaysia? Soalan seterusnya, bolehkah ia berlaku di Malaysia, Thailand atau Myanmar mengambil kira daripada kesan domino sebagaimana terjadi di Tunisia?
Saya membawakan soalan itu ke pengetahuan seorang pakar, rakyat Malaysia yang lama bekerja serta terlibat dalam kepimpinan politik di Indonesia.
Perbualan panjang bersama pakar yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Zam sahaja ini, saya ringkaskan begini:
"Kita tidak mahu Malaysia terkesan, sebagaimana efek domino yang muncul dalam Arab Spring - dari Tunisia ke Libya, kemudian Mesir ke Yaman, ke Syria, tetapi tidak mustahil terjadi jika beberapa hal tidak diambil serius oleh pemerintah negara. Ingat, gempa bumi juga dahulunya adalah diramal sangat mustahil berlaku di Malaysia kerana tidak berada dalam Lingkaran Api Pasifik. Tetapi, lihatlah beberapa minggu lalu, berlaku siri gempa bumi di Segamat."
"Berbanding negara Asia Tenggara lain, Malaysia paling hampir untuk mendapat tempias. Tolak ketepi Brunei kerana negara itu tidak akan terjejas sama sekali. Thailand begitu juga. Sifat protesnya berlainan dengan Indonesia, malah jumlahnya adalah lebih banyak berbanding Indonesia. Protes di Myanmar juga berbeza sifatnya kerana diperintah tentera. Jadi, jika Malaysia dalam keadaan retak menanti belah, ia hanya menunggu masa untuk terjadi."
Saya ambil perhatian kerisauan, malah sangat memahami kekhuatiran Dr. Zam itu dan barangkali banyak lagi orang di negara ini. Tetapi, saya berpandangan, keadaan di Malaysia berbeza untuk membolehkannya terjadi sebagaimana Arab Spring.
Ekonomi kita masih dalam keadaan baik. Kadar mata wang kita kukuh. Rakyat miskin B40 dibantu dengan pelbagai skim serta program. Penganguran juga indeksnya banyak pamer perubahan berbanding sebelum-sebelumnya. Pendidikan sebagai satu pelaburan masa depan juga diambil berat oleh kerajaan, pelajar miskin disuruh menerima tajaan atau pinjaman demi menimba ilmu. Maka, nikmat apa lagi yang mahu didustakan?
Saya mahu berjujur sahaja. Kerisauan Dr. Zam dan barangkali banyak lagi orang di negara ini ada asasnya. Bahawa, di sebalik nikmat yang tidak wajar didustakan itu, ingat, pada akhirnya, protes di Indonesia dan peristiwa di Tunisia mengingatkan kepada kita semua, tanpa terkecuali di Malaysia, mandat politik diabadikan bukan hanya melalui pilihan raya semata-mata, tetapi melalui periuk nasi rakyat.
Gema protes di Nusantara hari ini mungkin jauh daripada didengari di Afrika Utara, di mana ia dua kisah yang berbeza geografi, namun jika kita mahu bersetuju, ia bertemu pada titik maruah dan rezeki yang akhirnya menjalar kepada kesimpulan mudah. Bahawa, politik yang memelihara perut rakyat dan memayungi prinsip keadilan, itulah politik yang bertahan.
**Azlinariah Abdullah menulis tesis PhD bertajuk "The Myanmar Rohingyas : Challenges Faced by the "Refugee" Community in Malaysia 2014-2016, Editor Astro AWANI dan penerbit AWANI Pagi.
**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami