DUNIA
[KOLUMNIS] Pemimpin Islam masih ‘bisu’ walau Israel kerah 60,000 askar simpanan ke Gaza
![[KOLUMNIS] Pemimpin Islam masih ‘bisu’ walau Israel kerah 60,000 askar simpanan ke Gaza [KOLUMNIS] Pemimpin Islam masih ‘bisu’ walau Israel kerah 60,000 askar simpanan ke Gaza](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-08/41755747328_PalestiniansGaza.jpg)
Penduduk Palestin meninjau kemusnahan akibat serangan Israel di sebuah kawasan perumahan di Gaza City, 20 Ogos 2025. REUTERS
TENTERA Israel telah memanggil 60,000 askar simpanan bagi melancarkan satu lagi operasi darat besar-besaran ke atas Gaza City untuk menghapuskan pejuang Hamas dan penduduk Palestin yang masih berada di situ.
Menurut BBC, kesemua mereka dikehendaki melaporkan diri untuk bertugas pada September depan sebelum operasi darat besar-besaran digerakkan ke kawasan yang dianggap masih menjadi kubu pejuang.
Penambahan jumlah telah dibuat dan diluluskan menteri pertahanannya, Israel Katz pada Selasa lalu dan akan dibawa ke Kabinet Keselamatan pada minggu ini.
Ia sebagai tambahan 20,000 tentera sedia ada di wilayah berkenaan.Mengulas mengenainya, agensi berita Reuters berkata tindakan memanggil askar simpanan itu adalah langkah pertama untuk menggempur Gaza City.
Mengikut perancangan, melalui Operasi Gideon Chariot 11 kekuatan tentera akan dipecahkan kepada lima divisyen yang akan menumpukan serangan ke atas rangkaian terowong bawah tanah di kawasan pinggir bandar.
Demi memenuhi nafsu ‘syaitan’ mereka akan digunakan untuk menggempur 800,000 saki baki penduduk dan pelarian yang berlindung di kawasan seluas 45 kilometer persegi!
Objektifnya untuk mengepung Gaza City dan pada masa yang sama mengenakan tekanan daripada dalam bagi merampas kubu kuat Hamas yang sampai sekarang masih belum dapat dikuasainya sejak Perang Gaza bermula lebih 680 hari lalu.
Bagi melaksanakan rancangan jahatnya, rejim pengganas Zionis akan memaksa saki baki penduduk Palestin yang terkepung dan berlindung di situ bergerak ke arah selatan yang tiada sebarang jaminan keselamatan akan terlepas daripada serangan.
Bahkan pada awal Khamis (21 Ogos 2025), bedilan demi bedilan meragut sekurang-kurangnya 81 nyawa penduduk Palestin termasuk 30 orang yang sedang beratur untuk mendapatkan bantuan.
Sementara menunggu kelulusan rancangan jahatnya ke atas Gaza City, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah mengarahkan supaya jadual untuk menguasai kubu kuat Hamas dipendekkan.
Ramai sekutu Israel telah mengecam rancangan berkenaan termasuk Presiden Perancis Emmanuel Macron yang telah memberi amaran yang ia akan membawa satu lagi bencana selain menjerumuskan seluruh wilayah ke dalam kitaran perang kekal.
Tetapi berita jahat Tel Aviv untuk melancarkan rancangan berskala besar ke atas Gaza City tidak sedikit pun mencetus rasa bimbang kepada jiran paling dekat dengan wilayah berkenaan, iaitu Mesir.
Bahkan ketika kebanyakan negara dunia mula memboikot Israel, pentadbiran Presiden Abdel Fattah al Sisi pula dijangka meluluskan projek saluran paip gas ke Mesir dalam masa dua minggu lagi.
Langkah itu membolehkan enam bilion meter padu gas dipam setiap tahun sekali gus meningkatkan eksport negara Zionis itu.
Baginya, nyawa penduduk Gaza tiada harga langsung!
Ketika suara-suara kemanusiaan segenap ceruk dunia melahirkan kebimbangan terhadap genosid dan pembersihan kaum di Gaza, mana pergi suara pemimpin dunia Islam termasuk Sheikhul Al Azhar, ulama Arab Saudi dan yang setara dengannya?
Selepas hampir dua tahun, seruan untuk membantu serta membela penduduk Palestin dizalimi tidak lagi perlu dilaung dari atas mimbar.
Ucapan berapi-berapi serta demonstrasi tidak sedikitpun meringan derita dan menghentikan genosid ke atas mereka.
Zionis yang menjadi musuh manusiawi perlu diperangi.
Jika dimuhasabah, genosid di Gaza menyingkap wajah sebenar siapa pejuang dan siapa petualang.
* Penulis ialah Perunding Media Alkhair Malaysia
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami