DUNIA
[KOLUMNIS] Perang di antara Iran dan Israel - Faktor penyebab dan implikasi
![[KOLUMNIS] Perang di antara Iran dan Israel - Faktor penyebab dan implikasi [KOLUMNIS] Perang di antara Iran dan Israel - Faktor penyebab dan implikasi](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-06/41750063704_IranIsraelMideas.jpg)
Tindakan Israel menyerang Iran adalah kemuncak kepada konflik yang sudah wujud selama puluhan tahun antara kedua-dua negara tersebut. - Gambar Reuters
BERMULA pada 13 Jun 2025, Israel telah melancarkan serangan besar-besaran terhadap Iran. Serangan itu, yang dinamakan 'Operasi Rising Lion', sebenarnya merupakan puncak ketegangan yang terbina selama beberapa dekad sebelum ini.
Untuk memahami mengapa Israel telah melakukan serangan tersebut, adalah penting bagi kita mendalami beberapa faktor sejarah, politik, dan strategik berkenaan hubungan antara kedua-dua negara tersebut.
Hubungan Iran-Israel pra-revolusi
Sebelum Revolusi Islam yang berlaku pada tahun 1979, Iran di bawah pemerintahan Raja Mohammad Reza Shah Pahlavi telah menjalin hubungan baik dengan Israel. Keadaan ini berlaku susulan daripada hubungan baik di antara kerajaan Iran dengan kerajaan Amerika Syarikat pada masa itu.
Hubungan baik yang terhasil itu adalah akibat daripada langkah Operasi Ajax pada tahun 1953 apabila CIA, iaitu agensi perisikan Amerika Syarikat dengan kerjasama agensi perisikan British (MI6) mengatur rampasan kuasa (kudeta) untuk menggulingkan Perdana Menteri Iran pada masa itu, iaitu Mohammad Mosaddegh.
Objektif utama Amerika Syarikat dan Britain ialah untuk melindungi kepentingan minyak Barat dan mencegah pengaruh Soviet Union. Kudeta ini telah mengembalikan Mohammad Reza Shah ke takhta selepas beliau melarikan diri ke luar negara.
Selepas 1953, Amerika Syarikat telah memberikan bantuan ketenteraan untuk mengukuhkan rejim Reza Shah Pahlavi sambil mengaut keuntungan hasil dari jualan senjata canggih berjumlah berbilion Dolar kepada Iran seperti jet pejuang F-14 Tomcat.
Namun gaya hidup Raja Reza Shah yang suka berpoya-poya sedangkan kebanyakan rakyat hidup dalam kesusahan membuat ramai yang tidak berpuas hati. Pemerintahan beliau juga bersifat kuku besi terhadap rakyat.
Melalui agensi perisikan SAVAK, rejim beliau telah menangkap dan menyiksa ribuan rakyat Iran yang mengkritik pemerintahannya.
Hubungan selepas revolusi
Ketidakpuasan hati dan kebencian rakyat Iran yang memuncak akhirnya mencetuskan Revolusi Islam pada tahun 1979. Hubungan baik di antara Raja Reza Shah dan Amerika sebelum itu menimbulkan sikap anti Amerika di kalangan rakyat biasa yang melihat bahawa Amerika sedang menjajah Iran secara tidak langsung.
Sikap ini berlanjutan sehingga ke pasca revolusi di bawah Republik Islam Iran yang dipimpin oleh Ayatollah Khomeini. Beliau telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat dan Israel. Bahkan Khomeini telah menggelar Israel sebagai "setan kecil" dan Amerika Syarikat sebagai "setan besar" .
Perang tidak langsung
Iran dan Israel memilih untuk tidak berkonflik secara tidak langsung selama puluhan tahun iaitu semenjak dari tahun 1979 sehingga 2024. Salah satu contoh kepada situasi ini ialah penggunaan proksi oleh Iran untuk mengancam Israel seperti Hizbullah di Lubnan, dan gerakan ketenteraan Syiah di Iraq dan di Yaman. Kesemua mereka telah melakukan beberapa serangan terhadap Israel dengan menggunakan senjata yang dibekalkan oleh Iran.
Sementara itu, Israel juga mengelak menyerang Iran secara langsung. Sebaliknya Israel hanya menyerang melalui peperangan siber. Contoh utama ialah penggunaan virus Stuxnet oleh Israel untuk melemahkan program nuklear Iran. Di samping itu, Israel juga telah melakukan tindakan pembunuhan pakar saintis nuklear Iran seperti Mohsen Fakhrizadeh pada tahun 2020.
Konflik langsung pasca Oktober 2023
Namun, sikap Israel terhadap Iran menjadi lebih keras susulan daripada Operasi Taufan al-Aqsa oleh Hamas pada 7 Oktober 2023. Ia bermula sehari selepas itu, apabila proksi Iran iaitu Hizbullah melancarkan serangan roket dan artileri ke posisi Israel di Shebaa Farms dan Dataran Tinggi Golan, kawasan yang diduduki oleh Israel secara haram. Tindakan ini diisytiharkan oleh Hizbullah sebagai tindakan untuk menunjukkan "solidariti dengan rakyat Palestin" serta usaha mengalihkan tumpuan tentera Israel dari Gaza.
Israel membalas serangan tersebut dengan serangan udara di selatan Lubnan, terutamanya di kawasan Maroun al-Ras dan Aita al-Shaab. Pada bulan Januari 2024, Israel telah menyerang Hizbullah dengan lebih ganas dengan menggunakan dron serta melakukan serangan ke pinggir Beirut Selatan pada 27 September 2024 yang telah mengakibatkan kematian pemimpin utama Hizbullah di Lubnan iaitu Sheikh Hassan Nasrallah, bersama beberapa panglima kanan.
Dengan kematian Hasan Nasrullah, sudah tentu Iran terpaksa menunjukkan sokongan yang lebih kepada Hizbullah. Ini dilakukan dengan menambahkan bekalan senjata, termasuk bekalan roket Falaq-2 dan dron kamikaze, yang membolehkan Hizbullah menyerang sasaran di Israel tengah seperti Haifa dan Tel Aviv.
Israel terus menyerang Lubnan yang telah mengakibatkan 1.2 juta orang rakyat Lubnan terpaksa menjadi pelarian, terutamanya yang tinggal di selatan Lubnan dan Beirut. Serangan tersebut telah mengakibatkan lebih 3000 rakyat Lubnan terkorban, termasuk lebih daripada 2000 orang pejuang Hizbullah, manakala lebih 13,000 orang telah tercedera.
Serangan Israel terhadap Iran ditingkatkan lagi bermula bulan April 2024 dengan pengeboman kedutaan Iran di Syria yang telah membunuh komander Pasukan Quds, Mohammad Reza Zahedi. Ini memaksa Iran bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu dari wilayah Iran ke Israel. Selama lebih dari setahun selepas itu, keadaan antara Iran dan Israel menjadi reda.
Namun, pada 13 Jun 2025, secara tiba-Israel telah menyerang Iran dan berjata membunuh beberapa pemimpin atasan tentera Iran dan dua saintis nuklear. Ia juga telah menyerang kompleks kemudahan nuklear Iran di Natanz. Alasan Israel kepada serangan terkininya ialah untuk menggagalkan usaha Iran membangunkan bom nuklear. Israel mendakwa Iran sekarang memiliki bahan mencukupi untuk membina 15 bom nuklear dalam masa yang terdekat. Menurut Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Israel terpaksa menyerang Iran sebagai usaha menghapuskan ancaman nuklear Iran.
Iran membalas balik dengan menyerang Israel dengan roket dan peluru berpandu yang telah mengakibatkan 10 rakyat Israel maut serta 100 yang lain cedera.
Faktor politik dalam negeri Israel
Walau bagaimanapun, ramai rakyat Israel sendiri berpendapat bahawa satu faktor penting mengapa Benjamin Netanyahu membuat keputusan menyerang Iran ialah untuk memastikan keselamatan untuk diri beliau secara peribadi. Ini kerana beliau sedang menghadapi tekanan daripada dalam negara sendiri akibat pertuduhan rasuah.
Jika Israel dalam keadaan aman, perbicaraan akan diteruskan dan beliau kemungkinan akan didapati bersalah dan akan dipenjarakan. Di samping itu, sebahagian besar rakyat Israel juga menentang usaha beliau melakukan reformasi kehakiman untuk menguatkan kedudukan politik beliau.
Beberapa hari sebelum Israel menyerang Iran, Parlimen Israel nyaris dibubarkan. Oleh itu tidak hairanlah mengapa beliau membuat keputusan untuk berperang dengan Iran kerana hanya dengan cara ini beliau akan berjaya memaksa rakyat Israel mengalih perhatian daripada kes mahkamah yang beliau hadapi serta memaksa rakyat Israel bersatu di belakang beliau dalam menghadapi ancaman dari Iran.
Implikasi kepada keadaan di Palestin
Konflik di antara Iran dan Israel ini tidak akan menghasilkan perubahan yang mendadak di Palestin. Tentera Zionis masih tetap melakukan kezaliman dan genosid di Gaza dan Tebing Barat tanpa sebarang sekatan daripada masyarakat antarabangsa. Bahkan perhatian dunia yang telah dipalingkan kepada konflik ini sekali gus memudahkan usaha Israel untuk terus membunuh warga Palestin dengan lebih ramai lagi.
Walau bagaimanapun, dalam jangka panjang, ia akan merugikan Israel kerana persepsi di kalangan rakyat Amerika terhadap Israel semakin negatif. Israel dilihat sebagai negara yang bukan sahaja tidak berperikemanusiaan kerana membunuh wanita dan kanak-kanak di Gaza, ia juga suka berperang dengan negara lain, bahkan juga suka melibatkan Amerika dalam segala konflik yang dicetusnya serta mahukan Amerika membekalkan lebih banyak dana dan senjata kepadanya. Rakyat Amerika semakin meluat dengan kos yang terpaksa ditanggung oleh mereka akibat daripada tindak tanduk Israel.
Kesimpulan
Tindakan Israel menyerang Iran adalah kemuncak kepada konflik yang sudah wujud selama puluhan tahun antara kedua-dua negara tersebut. Ada beberapa faktor yang menyumbang kepada apa yang sedang berlaku iaitu, kebimbangan Israel terhadap senjata nuklear Iran, perebutan pengaruh serantau melalui proksi, kegagalan diplomasi antarabangsa dan kepentingan politik pemimpin kedua-dua belah pihak.
Dalam jangka panjang, bukan sahaja Iran akan terkesan dengan peperangan ini, bahkan juga Israel. Sokongan rakyat Amerika Syarikat kepada Israel semakin terjejas kerana Israel dirasakan mahu memaksa Amerika Syarikat berbelanja dengan banyak untuk menyokong segala tindakan ganasnya terhadap negara-negara jiran tanpa alasan yang konkrit.
Oleh kerana kemampuan kententeraan Israel bergantung sepenuhnya kepada sokongan dari Amerika Syarikat, maka dengan berkurangnya sokongan Amerika kepada Israel akan bermakna peluang rakyat Palestin untuk bebas daripada cengkaman zalim Zionis terhadap mereka akan menjadi bertambah cerah.
Dari perspektif ini, perang di antara Iran dan Israel adalah baik untuk masa depan Palestin.
* Prof Emeritus Dr Mohd Nazari Ismail merupakan Pengarah Pusat Pengajian Palestin Hashim Sani Universiti Malaya.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami