DUNIA
[KOLUMNIS] Runtuhnya Orba digulung Reformasi 1998, kini berakhirnya sebuah ilusi
![[KOLUMNIS] Runtuhnya Orba digulung Reformasi 1998, kini berakhirnya sebuah ilusi [KOLUMNIS] Runtuhnya Orba digulung Reformasi 1998, kini berakhirnya sebuah ilusi](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-09/81756864887_IndonesiaProtests.jpg)
Krisis kepercayaan terhadap kerajaan menjadi semakin mendalam apabila rakyat diminta berjimat dan membayar cukai, sedangkan elit politik dilihat menikmati kemewahan luar biasa. - Gambar fail AP
JAKARTA dan beberapa kota utama di Indonesia baru sahaja reda daripada digegar rusuhan kebangkitan rakyat.
Sekalipun dilihat tenang dan damai di permukaan, tetapi gelombang kemarahan rakyat begitu kuat di dasarnya. Gelombang itu membuak hingga hampir melumpuhkan negara.
Kemarahan rakyat meledak pada akhir Ogos setelah elaun perumahan anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dinaikkan RM12,600 (Rupiah 50 juta).
Jumlah itu hampir sepuluh kali ganda minimum rakyat kelas bawah. Lebih menghiris kenaikan elaun itu diumumkan ketika rakyat sedang bergelut dengan kenaikan belanja sara hidup.Rusuhan yang turut disertai pekerja kelas bawah dan mahasiswa itu menuntut kerajaan membatalkan kenaikan elaun itu, berbelanja lebih berhemah dan menyita harta golongan elit politik dan konglomerat kroni yang terlibat rasuah.
Keadaan bertukar ganas selepas remaja penghantar makanan, Affan Kurniawan maut dilanggar kenderaan polis rusuhan. Tragedi itu digunakan untuk membangkitkan sentimen rakyat seolah-olah nasib rakyat sudah tidak dipedulikan pemerintah.
Dengan pantas rusuhan di Jakarta terjangkit di banyak kota utama - Bandung, Makassar, Solo, Palembang, Yogyakarta.
Perusuh bertindak liar membakar pejabat kerajaan, DPR, balai polis dan memusnahkan kediaman beberapa anggota DPR – antaranya milik Ahmad Sahroni, Eko Patrio, dan Uya Kuya.
“Ini bukan luahan perasaan yang spontan. Tetapi ini adalah kesan berterusan daripada rasa kecewa rakyat terhadap dasar fiskal yang dianggap tidak adil dan beban sara hidup yang semakin meningkat,” kata Peneliti Kanan Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Deni Friawan.
Krisis kepercayaan terhadap kerajaan menjadi semakin mendalam apabila rakyat diminta berjimat dan membayar cukai, sedangkan elit politik dilihat menikmati kemewahan luar biasa, kenaikan elaun, serta memegang banyak jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan.
Kontrak sosial
“Cukai sepatutnya menjadi kontrak sosial antara rakyat dan negara. Tetapi apabila keadilan fiskal tidak dirasai, kontrak itu menjadi rapuh,” tegas Deni Friawan lagi.
Indonesia memang terkenal dengan protes yang menjurus rusuhan. Tetapi yang paling diingati adalah rusuhan Reformasi 1998 disebabkan kerakusan rejim Orde Baru (Orba) Suharto.
Reformasi 1998 lahir daripada kemarahan rakyat terhadap kerakusan elit politik dan konglomerat kroni merompak kekayaan negara.
Elit politik menggunakan kuasa untuk mengaut kekayaan peribadi, kemudian menjadikan negara sebagai ladang rasuah, kronisme dan nipotisme.
Reformasi pun dijulang dengan harapan yang besar – seolah-olah pintu sakti yang mampu menutup negara daripada segala kebobrokan.
Gerakan reformasi mendapat dukungan yang luar biasa kuatnya. Misalnya disertai oleh para intelektual dari menara gading, seniman, buruh malah penarik beca juga ikut mendukung suatu yang dianggap jalan menuju perubahan.
Dukungan yang luar biasa itulah yang membenamkan rejim Orba dan menyingkirkan Suharto selepas tiga dekad berkuasa.
Pengaruh tokoh seperti Amien Rais, penyair Rendra, Megawati Soekarnoputri, Abdurrahman Wahid (Gus Dus), sasterawan Goenawan Mohamad dan banyak lagi menjadi tiang seri Reformasi 1998 cukup kukuh.
Biar pun Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) bawah kawalan Suharto, akhirnya Presiden paling lama itu tersingkir.
Tetapi selepas lebih suku abad, Reformasi 1998 menjadi semakin basi dan hampir mati. Perkara-perkara yang ditentang dalam Reformasi itu dilakukan dengan tanpa rasa bersalah oleh pendukung kuasa.
Cengkaman
Awalnya Reformasi 1998 berjaya memutuskan rantaian rasuah dan tipu muslihat yang dilakukan secara undang-undang.
Hampir seluruhnya elit politik bawah kawalan Suharto dibenamkan dan pemimpin baharu pada dekad pertama selepas rusuhan bergerak selari dengan kehendak Reformasi.
BJ Habibie misalnya yang mengambil alih kepemimpinan selepas penyingkiran Suharto banyak membuat perubahan.
Salah satu yang paling diingati adalah membebaskan rakyat daripada cengkaman tentera yang melampau seperti era Suharto.
Tetapi kepimpinan Habibie terlalu singkat. Apabila pilihan raya pertama selepas Reformasi diadakan, elit politik berebut untuk menjadi Presiden. Gus Dur menang dalam persaingan dengan Megawati – kedua-duanya pendukung Reformasi 1998.
Sekalipun begitu, Gus Dur juga tidak sempat menamatkan penggalnya sebagai Presiden apabila dijatuhkan oleh Megawati dengan dukungan kuat Amien Rais.
Sifat dan budaya politik yang tamak dan rakus mengaut kekayaan menjadikan Reformasi 1998 semakin tenat.
Kini elit politik kembali pada perangai lama – normalisasi rasuah sebagai salah satu prasyarat berpolitik.
Semua penyakit yang dilawan Reformasi 1998 kini membiak semula dalam kerajaan. Konglomerat kroni yang yang mendukung elit politik mengaut kekayaan hasil pembangunan negara.
Suku abad lalu, jerit pekik mahasiswa, aktivis dan rakyat membawa satu harapan besar - Indonesia yang bebas daripada kuku besi Orde Baru, terbuka untuk demokrasi, dan bersih daripada rasuah. Reformasi 1998 ibarat cahaya yang memecah kegelapan tiga dekad autoritarian Suharto.
Tetapi sebahagian besar tokoh yang dulunya berdiri di barisan depan Reformasi dan menjeritkan “lawan korupsi, lawan nepotisme, lawan oligarki, ” hari ini duduk dengan enak persada kuasa, menikmati segala keistimewaan yang dahulunya dicerca.

Sejarah merekodkan hampir seluruh elit politik bawah kawalan Suharto dibenamkan dan pemimpin baharu pada dekad pertama selepas rusuhan bergerak selari dengan kehendak Reformasi.
Paradoks
Reformasi 1998 kini menjadi paradoks – musuh yang ditumbangkan dengan darah dan air mata, kini kembali dalam wajah yang berbeza.
Sebenarnya bukan mudah untuk membuang rakus dan tamak daripada pemburu kuasa dan kekayaan yang berselindung atas nama demokrasi.
Jokowi misalnya berusaha meminda perlembagaan untuk membolehkan beliau lanjutkan kuasa hingga penggal ketiga.
Sedangkan antara janji Reformasi Indonesia adalah mengehadkan tempoh seseorang presiden selama dua penggal. Sekalipun pindaan itu gagal, tetapi Jokowi berjaya membina dinasti.
Anak sulungnya, Gibran yang menyertai politik tahun 2020 menjadi orang nombor dua selepas Presiden Prabowo Subinato.
Reformasi 1998 terlalu ideal dan terbina atas iltizam memisahkan kuasa daripada kerakusan.
Bagaimanapun, hakikat politik di Indonesia – malah di mana-mana juga adalah sebaliknya. Elit politik dan rakus menjadi kaya bagaikan dua sisi mata wang yang tidak boleh dipisahkan.
Politik membuka peluang mendapatkan kuasa, dan kuasa pula kerap terbukti menjadi jalan pintas mengaut kekayaan. Reformasi 1998 cuba melawan naluri buruk yang paling purba dalam politik – kerakusan.
Demokrasi memang memberi ruang untuk rakyat memilih, tetapi pilihan itu dibentuk oleh lambakan wang dan media yang dikuasai oligarki. Lalu, rasuah bukan lagi salah laku, tetapi sudah menjadi ekosistem yang melindungi kepentingan elit politik.
Akhirnya Reformasi 1998 sekadar mimpi yang indah.
Yang nyata hanya ironi – mereka yang dahulu melaungkan Reformasi kini sibuk membina dinasti politik, melindungi kroni, dan mengaut sebanyak mungkin kekayaan yang ‘tidak melanggar undang-undang.’
Kalau sejarah ditulis oleh yang menang, undang-undang diberi tafsiran oleh yang berkuasa.
* Ku Seman Ku Hussain adalah wartawan bebas dan penulis buku serta pengendali blog Kayang Post.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami