Lebih 369,000 pelajar sertai Kempen Internet Selamat setakat 30 Nov

Nik Kamaruzaman (tengah) bergambar bersama peserta pada Karnival KIS Negeri Terengganu 2025 di Taman Tamadun Islam, hari ini. - Gambar Bernama
KUALA TERENGGANU: Kempen Internet Selamat 2025 berjaya dilaksanakan di 8,462 sekolah di seluruh negara dengan penyertaan lebih 369,000 pelajar setakat 30 Nov lepas, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin.
Ringkasan AI
- Kempen Internet Selamat 2025 dilaksanakan di 8,462 sekolah di seluruh negara, melibatkan lebih 369,000 pelajar hingga November 2021.
- Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan perlindungan dalam talian bagi menghadapi ancaman seperti penipuan dan pemalsuan maklumat.
- Usaha ini memberi kesedaran kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk guru, ibu bapa, dan pelajar tentang risiko digital serta langkah perlindungan yang perlu diambil.
"Kempen ini bukan sahaja memberi kesedaran malah menyediakan modul latihan, bahan pembelajaran serta latihan bersemuka bersama sekolah, komuniti setempat dan agensi-agensi kerajaan. Usaha ini memastikan semua lapisan masyarakat guru, ibu bapa, pelajar dan pengguna umum memahami risiko digital dan tahu mengenai langkah perlindungan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kempen Internet Selamat Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nik Kamaruzaman berkata kempen itu berjaya memperkasa pelajar daripada 435 sekolah di Terengganu, sekali gus menjadi satu pencapaian besar yang mencerminkan komitmen negeri itu dalam menjadikan keselamatan siber sebagai keutamaan pendidikan.
"Sebanyak 14,351 pelajar terlibat secara langsung melalui bengkel, ceramah dan aktiviti interaktif. Ini menandakan kesedaran rakyat semakin meningkat dan Terengganu kini dilihat sebagai antara negeri paling proaktif dalam pendidikan keselamatan digital," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap kempen berkenaan menjadi permulaan kepada pelaksanaan lebih banyak program literasi digital melibatkan ibu bapa, belia, komuniti kampung, masjid serta agensi kerajaan dan swasta bagi membentuk ekosistem digital yang lebih selamat, bertanggungjawab dan beretika untuk generasi akan datang.
Sementara itu, seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 Dr Quek Soh Theng berkata pendedahan mengenai keselamatan Internet dan isu buli siber penting kerana sebelum ini masyarakat kurang terdedah kepada perkara itu, sekali gus menyebabkan mereka mudah terdedah kepada pelbagai risiko dalam talian.
Beliau berkata inisiatif yang dilaksanakan bermula dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah serta institusi pengajian tinggi itu wajar buat secara berterusan bagi membentuk generasi pengguna Internet yang lebih beretika dan berwaspada.
"Saya berharap kerajaan dapat memperluaskan lagi pelaksanaan program kempen itu dengan penglibatan lebih banyak sekolah supaya murid-murid mendapat pendedahan menyeluruh serta tidak menyalahgunakan kemudahan Internet," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


