KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) komited dalam menerajui agenda perubahan iklim dan memenuhi ikrarnya pada Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26), kata Setiausaha Negara AS Antony J. Blinken.

Beliau berkata AS juga mempunyai kewajipan untuk memastikan negara, termasuk negara pulau kecil, mendapat sokongan diperlukan dan akses kepada teknologi, teknik dan pengetahuan dalam membuat perubahan, menyesuaikan diri dan membina daya tahan.

"Dan ini adalah sesuatu yang amat dekat dengan Presiden Joe Biden sejak mula berkhidmat. Kami menggandakan komitmen kami terhadap pelbagai dana untuk negara membangun mempunyai akses kepada sumber bagi menjalani penyesuaian. Dan kemudian beliau tambah lagi dana.

"Terdapat komitmen antarabangsa untuk menyediakan US$100 bilion setahun. Jadi kita perlu kendali dengan baik," katanya di sesi Town Hall Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI), secara hibrid di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan mengenai bagaimana AS boleh memainkan peranan untuk mengehadkan kenaikan suhu global pada 1.5 darjah Celsius seperti ditetapkan Perjanjian Paris serta mencapai Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC) dengan cara saksama.

Pada COP26 di Glasgow, AS berikrar untuk mula menyediakan US$3 bilion setiap tahun menjelang 2024, untuk membantu negara membangun menyesuaikan diri dengan perubahan iklim.

Blinken berkata terdapat kemajuan yang dicapai pada COP26, dengan 60 negara mewakili 65 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia, berikrar mengehadkan kenaikan suhu global pada 1.5 darjah Celsius, manakala lebih 100 negara komited untuk mengurangkan pengeluaran gas metana sebanyak 30 peratus menjelang 2030.

"Kami mempunyai pelan koheren yang jika dilaksanakan dan andai semua pihak menandatangani dan melakukannya, saya fikir ia akan membawa kami mencapai matlamat kami. Kami belum capai matlamat itu dan kami perlu segera bertindak kerana itulah matlamatnya," tambah beliau.

Blinken turut menyentuh berkaitan kepentingan program pembangunan belia terutama untuk mengatasi cabaran dalam era pasca pandemik.

Beliau berharap YSEALI dapat membantu menghubungkan belia Malaysia dengan penduduk Amerika dan di seluruh rangkaiannya untuk mendepani cabaran pasca pandemik.

Di samping itu, beliau turut memuji YSEALI Malaysia yang telah menganjurkan pelbagai acara amal dan mengasaskan perusahaan sosial yang mewujudkan peluang pekerjaan untuk golongan muda.

YSEALI ialah program kerajaan AS untuk mendidik dan menyediakan latihan kemahiran kepada belia dari negara Asia Tenggara -- Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste.

Sehingga kini, terdapat lebih 5,000 alumni program YSEALI dan hampir 150,000 belia menyertai YSEALI Network.

Blinken tiba di Kuala Lumpur pada malam Selasa untuk lawatan kerja dua hari. Beliau sebelum ini singgah di Jakarta, Indonesia dan akan meneruskan kunjungannya ke Bangkok, Thailand.

-- BERNAMA