KUALA LUMPUR: Penggunaan tenaga secara lebih berhemat, mengoptimumkan kos operasi melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pengurusan kewangan yang teliti adalah teras utama yang perlu diamalkan dalam mendepani cabaran krisis tenaga global yang semakin meruncing.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas ,Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata langkah strategik itu penting bagi membina ‘lapisan insulasi’ negara dalam menghadapi senario global yang tidak menentu.
Advertisement
Beliau berkata, prinsip ‘efficiency is the first fuel’ iaitu penjimatan melalui penggunaan yang cekap bertindak sebagai lapisan keselamatan tambahan untuk menambah ketersediaan bekalan perlu diterapkan dalam budaya harian masyarakat dan operasi perniagaan.
"Kita perlu mengelakkan pembaziran dan menangani apa-apa penggunaan atau proses yang boleh kita tidak pakai. Kemungkinan dengan automasi atau pendekatan proses yang lebih cekap, kita boleh elakkan penggunaan bahan api terlalu banyak dan boleh membina satu lapisan insulasi untuk negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Bicara Naratif Khas: Mendepani Cabaran Krisis Tenaga Global terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang dihoskan Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail, malam Jumaat.
Menurut Tengku Muhammad Taufik, antara langkah yang boleh diambil bagi menangani situasi semasa termasuk mengamalkan penggunaan tenaga yang lebih berhemat, menggalakkan perkongsian pengangkutan selain menyarankan pengurusan kewangan yang lebih bertanggungjawab dan mengelakkan penambahan beban kewangan yang tidak perlu.
Beliau berkata, Malaysia mencatatkan kadar penggunaan tenaga per kapita yang lebih tinggi berbanding negara serantau lain seperti Thailand, Indonesia, India dan Filipina.
-- BERNAMA