HUBUNGAN Amerika Syarikat dan Iran seringkali mengalami pasang surut dan ia secara tidak langsung memberikan impak kepada iklim politik dan geostrategik antarabangsa.
Hal ini kerana, kedua-dua buah negara mempunyai keupayaan ketenteraan yang hebat terutamanya Amerika Syarikat yang sehingga kini masih lagi mengungguli ketenteraan terhebat dunia dengan penguasaannya di laut, darat dan udara.
Sejarah ketegangan hubungan dua hala antara Amerika Syarikat dan Iran ini telah berlangsung sekian lama terutamanya semenjak Revolusi Iran 1979 apabila pemerintahan Shah Reza Pahlavi sebagai Raja Iran yang pro kepada Amerika Syarikat telah ditumbangkan oleh revolusi rakyat Iran yang diketuai oleh Ayatollah Khomeini.
Semenjak dari saat itu, Iran muncul antara negara yang sering kali tidak sependapat dengan Amerika Syarikat dalam banyak isu antarabangsa sekaligus menjadikan Iran sebagai antara negara yang telah dikenalpasti oleh Amerika Syarikat antara negara paksi keganasan ketika era pentadbiran George W. Bush sebagai Presiden Amerika Syarikat.
Analisis yang dikemukakan oleh teoritikal Realisme menyatakan bahawa ketegangan hubungan Amerika Syarikat dan Iran ini adalah sebuah perkara yang biasa berlaku di dalam kancah politik antarabangsa yang sentiasa berlumba-lumba dalam mempertingkatkan keupayaan negara masing-masing.
Amerika Syarikat sudah pasti mahu mengekalkan hegemoninya sebagai sebuah negara kuasa besar dunia demi kepentingan nasionalnya, manakala Iran pula mahu mengekalkan kelangsungan kedaulatan mereka di dalam sistem antarabangsa selain mahu bebas bertindak sebagai aktor berdaulat terhadap sebarang gangguan yang menganggu gugat keselamatan mereka.
Hal ini menerbitkan sebuah pertentangan di antara kedua-dua buah negara yang mempunyai keupayaan nuklear sekalipun di atas kertas, Amerika Syarikat lebih unggul dengan kecanggihan teknologi dan keupayaan ketenteraannya yang melebihi Iran.
Walau bagaimanapun, keupayaan Iran dalam membangunkan teknologi nuklearnya sekalipun dikenakan sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat dan sekutunya benar-benar menghadirkan kebimbangan kepada mereka kerana sebuah negara yang “ditindas” mampu membangunkan teknologi nuklearnya sendiri.
Hal ini ditambah dengan dasar luar para pemimpin Iran itu sendiri yang seringkali memusuhi Amerika Syarikat di atas tindak tanduk Amerika Syarikat yang gemar campur tangan dan mendominasi negara-negara lain demi kepentingan mereka, maka secara tidak langsung menyumbang kepada hubungan yang tidak lekang dari ketegangan dan tuduh menuduh.
Kematian Jeneral Qassem Soleimani, Ketua Tentera Elit Quds, Kor Pengawal Revolusi Iran, yang terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad dilihat sebagai permulaan baharu kepada ketegangan antara kedua-dua buah negara yang sering kali bertelingkah itu.
Qassem Soleimani adalah seorang tokoh yang dijulang tinggi oleh rakyat Iran kerana berperanan penting dalam menggerakkan anggota militia bersenjata di seluruh rantau Teluk menentang Amerika Syarikat dan sekutunya, yang ingin memperluaskan pengaruhnya dari Iran ke Mediterranean. Kematian Soleimani adalah tamparan besar ke seluruh rakyat Iran dan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, bersumpah membalas dendam secara besar-besaran.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam kenyataannya bagaimanapun berkata arahan serangan ke atas Soleimani adalah bagi menghentikan peperangan dan bukan untuk memulakannya.
Seperti mana alasan yang pernah dikemukakan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush ketika menyerang Iraq dengan menyatakan bahawa serangan terhadap Iraq yang memiliki senjata pemusnah besar-besaran mampu menghentikan peperangan yang bakal berlaku dan mewujudkan keamanan dunia, namun ternyata ia hanya strategi Amerika Syarikat untuk menceroboh dan menjarah kekayaan Iraq yang terkenal dengan telaga minyak yang banyak.
Seperti mana Iraq, Iran juga adalah antara negara yang begitu kaya dengan hasil bumi dan sumber alam.
Maka retorik yang sama digunakan oleh Donald Trump dengan merasionalkan serangan udara tersebut bagi menghentikan peperangan dan bukan untuk memulakannya sekalipun hakikatnya serangan udara yang mengorbankan orang kedua paling berpengaruh di Iran itu telah membuka lembaran baru ketegangan hubungan Amerika Syarikat dan Iran yang pastinya memberikan impak kepada struktur antarabangsa.
Keperluan Politik Domestik Amerika Syarikat kepada Donald Trump
Donald Trump adalah pemimpin yang tidak mempunyai pengaruh yang cukup kuat di dalam politik domestik Amerika Syarikat dan ia dapat dibuktikan dengan kemenangan yang tidak begitu selesa ke atas Hillary Clinton ketika pilihanraya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2016.
Trump hanya memenangi sebanyak 55% undi mengatasi Clinton namun tewas undi popular terhadap Clinton dengan hanya mendapat undi popular sebanyak 46.1% sahaja.
Menyedari dasar-dasar beliau sepanjang hampir 4 tahun menjawat jawatan sebagai Presiden Amerika Syarikat tidak begitu popular dalam kalangan rakyat Amerika Syarikat, maka Donald Trump cuba merencanakan rancangan bagi meningkatkan imejnya dalam kalangan rakyat Amerika Syarikat.
Kemenangan Trump pada ketika pilihanraya presiden pada ketika itu adalah didorong dengan faktor penguasaan media sosial yang optimum oleh kem Republikan selain ketika waktu kempen beliau telah menunggang sentimen populis dengan kononnya mengambil kira keperluan masyarakat marhaen di Amerika Syarikat namun tidak digemari oleh golongan elit Amerika Syarikat.
Slogan “Make American Great Again” yang digunakan oleh Trump sebagai dasar populis-nasionalisnya telah memenangi hati masyarakat kelas bawahan di Amerika Syarikat dan sokongan kepada beliau telah dizahirkan oleh rakyat di peti undi.
Golongan masyarakat marhaen pada ketika itu kurang bersetuju dengan pemerintahan parti Demokrat kerana menganggap pentadbiran Barack Obama dari parti Demokrat kurang mendengar suara mereka dalam isu TPP iaitu Perkongsian Trans Pasifik yang membuka sempadan untuk pengaliran bebas barangan, modal dan pekerja dari negara lain.
Isu imigran yang datang ke Amerika Syarikat menjadi antara isu utama kerana kebanyakan golongan bawahan di Amerika Syarikat menganggap kehadiran golongan imigran ini menyebabkan pengangguran dalam kalangan rakyat Amerika Syarikat sendiri.
Isu ini juga membawa kepada kefahaman bahawa globalisasi ekonomi hanya menguntungkan golongan elit semata-mata kerana pembayaran upah imigran lebih rendah daripada rakyat Amerika Syarikat sendiri.
Walau bagaimanapun, manifesto dan dasar Trump ini tidak dapat dilaksanakan seperti mana yang telah dicanangkan oleh beliau kerana terdapat kekangan daripada pemodal dan golongan elit yang berpengaruh dalam pemerintahan dan pentadbiran Amerika Syarikat.
Maka secara tidak langsung ia telah mempengaruhi sokongan rakyat terhadap beliau dan populariti Trump semakin menurun.
Maka, untuk mengembalikan sokongan dan popularitinya dengan mengambil kira faktor pilihanraya presiden yang bakal berlangsung pada tahun hadapan, Trump melancarkan suatu rancangan baru bagi menaikkan semula imejnya sebagai “patriot” dengan alasan serangan udara yang mengakibatkan kematian Jeneral perang Iran adalah bagi melindungi kepentingan Amerika Syarikat di Timur Tengah.
Mungkin benar, kepentingan Amerika Syarikat di Timur Tengah terancam dengan kebangkitan Iran sebagai antara kuasa besar di rantau Timur Tengah, apatah lagi kedua-dua buah negara kerap kali saling tidak bersetuju di antara satu sama lain.
Sebagai seorang pemimpin, tindakan Trump itu adalah tindakan biasa bagi seseorang pemimpin sesebuah negara, kerana ia adalah kewajiban bagi melindungi kepentingan nasional negara mereka.
Sekiranya seseorang pemimpin itu tidak mengendahkan isu berkaitan kepentingan negara mereka, maka sudah pasti mereka akan dijatuhkan oleh rakyat dan bagi mengekalkan kuasa sebagai pemimpin, mahu atau tidak mahu seseorang pemimpin itu harus menunjukkan usaha bagi melindungi dan mengekalkan kepentingan nasional negaranya sama ada dalam dasar luar mahupun domestik negara tersebut.
Berperang atau tidak?
Sejarah telah membuktikan bahawa ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran ini tidak pernah beralih ke arah krisis peperangan secara terbuka, dan ia hanya terhenti setakat perimeter konflik sahaja.
Hal ini kerana kedua-dua buah negara faham akan natijah yang berlaku akibat daripada peperangan yang berlaku, apatah lagi dengan struktur antarabangsa yang bersifat multi-unipolar yang mana terdapat banyak negara yang mempunyai keupayaan ketenteraan, ekonomi, politik dan teknologi yang tidak jauh berbeza di antara satu sama lain.
Sekalipun Amerika Syarikat masih unggul sebagai kuasa hegemoni dunia, namun perbezaannya tidak lagi begitu ketara seperti mana yang berlaku pada era 1990-an dan awal 2000-an kerana pada ketika itu, keupayaan Amerika Syarikat sebagai sebuah negara hegemoni antarabangsa tidak mampu dicabar oleh mana-mana negara.
Setiap negara di dalam sistem antarabangsa pasti mempunyai perkiraan dan percaturan yang munasabah kerana sekiranya silap dalam melakukan percaturan, maka kerugian akan dialami oleh sesebuah negara tersebut.
Adolf Hitler, adalah antara pemimpin antarabangsa yang sering dianggap gila dan terburu-buru dalam melaksanakan dasar penaklukannya sehingga menyebabkan tentera Nazi Jerman tewas dalam usaha menawan Kesatuan Soviet.
Namun tahukah kita bahawa beliau sebenarnya telah melakukan perancangan dan perkiraan yang rapi? Oleh kerana yakin dengan perancangan dan keupayaan pasukan tenteranya, maka Hitler tidak teragak-agak menyerang Kesatuan Soviet sekalipun pada ketika itu Kesatuan Soviet juga ditadbir oleh seorang pemimpin yang didakwa “gila” oleh masyarakat dunia kerana mengakibatkan kematian berjuta manusia iaitu Josef Stalin.
Namun telah tercatat dalam lipatan sejarah bahawa tentera Nazi Jerman gagal menawan Kesatuan Soviet sekalipun sebenarnya perancangan teliti telah dilakukan oleh beliau.
Walau bagaimanapun, situasi pergeseran antara Amerika Syarikat-Iran tidak boleh disamakan dengan situasi Jerman-Kesatuan Soviet kerana pada ketika itu struktur antarabangsa bersifat multipolar iaitu keupayaan negara-negara dunia di dalam ketenteraan tidak jauh berbeza seperti mana kini.
Melalui struktur antarabangsa masa kini, proksi dan negara sekutu menjadi faktor cegah rintang sesebuah negara selain keupayaan ketenteraan mereka.
Sebagai contoh, hubungan baik Iran dengan China dan Rusia menjadi faktor perkiraan terhadap Amerika Syarikat untuk menyerang mereka, begitu juga sekutu Amerika Syarikat seperti Britain yang mempunyai keupayaan ketenteraan yang canggih pasti menggusarkan Iran untuk terus melancarkan perang terhadap Amerika Syarikat secara terus.
Apa yang mampu dilakukan oleh Iran hanya menyerang dan memusnahkan kepentingan atau pangkalan tentera Amerika Syarikat tanpa menghantar armada ketenteraan terus ke Amerika Syarikat.
Maka oleh kerana itu, pertimbangan-pertimbangan tersebut mempengaruhi keputusan Donald Trump untuk tidak melancarkan perang terhadap Iran begitu juga dengan Ali Khamenei Pemimpin Agung Iran melalui Presiden Hassan Rouhani untuk tidak lagi menyerang kepentingan Amerika Syarikat.
Pertimbangan-pertimbangan yang dilakukan oleh pemimpin kedua-dua buah negara juga tidak boleh tidak kerana didorong oleh kedua-dua buah negara mempunyai keupayaan nuklear sekalipun Amerika Syarikat dilihat mempunyai kelebihan berdasarkan bilangan dan teknologi yang jauh mengatasi Iran, namun ia pasti membuatkan negara-negara sekutu Amerika Syarikat bimbang dengan perkembangan tersebut kerana ia bukan sahaja merugikan negara yang bertelagah malahan tempiasnya turut dirasai oleh dunia terutamanya negara-negara sekutu atau proksi kedua-dua buah negara.
Justeru, melalui analisis yang dinyatakan ini boleh dikatakan bahawa baik Amerika Syarikat mahupun Iran tidak akan melancarkan peperangan terbuka terlebih dahulu sekurang-kurangnya pada waktu kini kerana ia hanya membawa kerugian dan kemusnahan kepada kedua-dua buah negara dan negara-negara sekutu mereka.
Walau bagaimanapun, ia juga bergantung kepada faktor idiosinkratik pemimpin itu sendiri dan tahap pertimbangan mereka sama ada waras dalam bertindak atau nekad untuk berperang.
Kesan ketegangan Amerika Syarikat dan Iran kepada Malaysia
Politik antarabangsa adalah berkenaan hubungan antara manusia dan negara. Hanya negara yang memiliki kuasa sahaja yang mampu bertahan di dalam sistem antarabangsa yang bersifat anarki dan kompetatif, manakala setiap negara akan cuba mempertahankan dan meningkatkan kepentingan nasionalnya.
Kepentingan nasional bermaksud apa sahaja keperluan dan kepentingan sesebuah negara itu untuk terus bertahan di dalam sistem antarabangsa.
Dunia diibaratkan seperti mana hutan rimba yang tidak mempunyai peraturan atau sebuah kuasa pusat yang mengawal perilaku setiap haiwan, manakala negara boleh diibaratkan seperti mana haiwan yang perlu melangsungkan kehidupan di dalam hutan tebal yang penuh bahaya dan cabaran.
Mana-mana negara yang kuat akan menjadi pemangsa, manakala yang lemah akan menjadi mangsa. Maka di dalam sistem antarabangsa, setiap negara cuba meningkatkan keupayaan terutamanya di dalam bidang politik, ekonomi, ketenteraan dan teknologi agar tidak lemah dan menjadi mangsa kepada negara yang kuat.
Walau bagaimanapun, konsep negara sekutu atau negara proksi adalah cara dan kaedah sesebuah negara yang lemah untuk melangsungkan kedaulatannya di dalam sistem antarabangsa dengan bergantung atau berkompromi dengan negara kuasa besar.
Terdapat juga negara-negara yang mengamalkan konsep lindung nilai dengan berbaik dengan dua atau lebih negara kuasa besar sebagai salah satu kaedah cegah rintang supaya kedua-dua atau lebih kuasa besar mempunyai kepentingan di negara tersebut.
Sebagai sebuah negara yang tidak memberi keutamaan yang terlalu besar kepada pembangunan ketenteraan, Malaysia dilihat oleh masyarakat dunia sebagai sebuah negara demokratik yang memiliki keupayaan dalam menjalankan diplomasi berkesan. Malaysia melalui perdana menteri, telah mengecam serangan udara tentera Amerika Syarikat di Baghdad sehingga mengakibatkan kematian jeneral tentera Iran.
Hal ini menurut Malaysia sebagai penyebab kepada ketidaktentuan politik antarabangsa yang pasti membawa faktor domino kepada masalah ekonomi dan perdagangan antarabangsa.
Ironinya, masih ramai masyarakat di Malaysia yang masih mempersoalkan kepentingan memahami masalah Amerika Syarikat-Iran dan politik antarabangsa serta menganggap hal ehwal antarabangsa tidak begitu penting di dalam kamus kehidupan seharian.
Pemikiran dan kenyataan seperti ini tidak benar sama sekali kerana politik antarabangsa akan mempengaruhi keamanan dunia secara amnya. Sekiranya konflik atau krisis berlaku, sekalipun melibatkan dua atau lebih negara yang jauh kedudukan georgrafinya dari Malaysia, ia akan mempengaruhi secara langsung politik dan dasar luar negara, ekonomi serta perdagangan antarabangsa.
Kenaikan harga bahan api adalah reaksi kepada konflik atau krisis yang berlaku di peringkat antarabangsa melibatkan dua atau lebih negara yang terlibat.
Faktor ini penyebab kepada terganggunya kehidupan harian masyarakat di Malaysia dengan berlakunya kenaikan harga bahan api kerana gangguan terhadap pengeluaran minyak dan gas, kenaikan harga makanan akibat perdagangan yang tidak lancar yang kemudiannya membawa kepada faktor kekurangan makanan.
Apabila segalanya sukar maka ia akan membawa kepada masalah ekonomi dan inflasi kepada negara yang mana pada akhirnya menyebabkan masalah sosial dan ketegangan domestik negara.
Konflik atau krisis yang berlaku antara negara-negara di dunia terutamanya yang melibatkan negara kuasa besar atau negara pengeluar sumber bahan api menjadi faktor domino kepada berlakunya masalah-masalah seperti mana yang telah dinyatakan.
Justeru, faktor antarabangsa sememangnya mempengaruhi negara-negara yang berada di dalam sistem antarabangsa seperti mana teori yang dikemukakan oleh sarjana neo-realis yang menyatakan bahawa faktor sistemik menjadi faktor terpenting yang mempengaruhi tindakan dan situasi yang berlaku kepada negara-negara di dunia.
Keamanan yang dikecapi oleh masyarakat Malaysia pada hari ini adalah kerana dasar luar negara yang mampan dan tidak mengundang permusuhan dengan negara-negara lain.
Oleh kerana itu, wajar bagi masyarakat untuk memahami bagaimana sistem politik antarabangsa beroperasi supaya dapat melahirkan kepimpinan negara yang cekap dan mahir dalam menguruskan politik dan ekonomi negara, dasar luar serta menjaga imej negara.
Sebagai sebuah negara demokrasi, rakyat akan memilih pemimpin dan barisan kepimpinan bagi menerajui negara. Kegagalan mengenal pasti kepimpinan yang mampu menggalas tugas sebagai pemimpin negara yang cemerlang hanya akan merugikan negara pada akhirnya.
Justeru, pemahaman yang jitu tentang isu-isu antarabangsa mampu menjadikan masyarakat Malaysia matang dan berilmu dalam berfikir, kata-kata dan tindakan.
* Hisyam Basabah merupakan penulis bebas dan calon Ijazah Doktor Falsafah Pengajian Etnik, Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Hisyam Basabah
Thu Jan 16 2020
Sejarah ketegangan hubungan dua hala antara Amerika Syarikat dan Iran ini telah berlangsung sekian lama terutamanya semenjak Revolusi Iran 1979 - Foto AFP PHOTO / BULENT KILIC
Kemalangan maut di tempat kerja sektor pembinaan Singapura meningkat tiga kali ganda
Kementerian Tenaga Manusia Singapura melaporkan peningkatan mendadak dalam kes kemalangan maut di tempat kerja bagi sektor pembinaan.
TH jangka mula keluar surat tawaran haji Isnin ini
Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka mula mengeluarkan surat tawaran untuk menunaikan ibadah haji bagi tahun 2025/1446 Hijrah pada Isnin ini.
Kerajaan terus perkasa TVET, penuhi keperluan industri & teknologi – TPM
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, TVET bukan saja membuka peluang kerjaya, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan negara.
Warga emas guna PPR sebagai lokasi transit PATI
Seorang lelaki berusia 62 tahun ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah selepas menyimpan 22 PATI warga Myanmar di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) miliknya di Kuala Nerang, Kedah sebelum dihantar ke ejen pekerjaan di Pulau Pinang.
Nilai ringgit kukuh, inflasi terkawal petanda positif lonjakan pertumbuhan negara
Nilai Ringgit yang kembali pulih, inflasi kekal terkawal serta kadar pengangguran kekal rendah merupakan antara petanda positif yang akan melonjakkan keyakinan terhadap pertumbuhan ekonomi negara.
Zon khas untuk jual barangan tanpa subsidi bakal diperkenal
Kerajaan bakal memperkenal zon khas di kawasan sempadan untuk penjualan barangan tanpa subsidi bagi menangani aktiviti penyeludupan dan ketirisan barang kawalan.
Jenazah bayi ditahan: Laporan KKM siap selewat-lewatnya minggu depan
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzukelfy Ahmad memohon orang ramai memberi ruang kepada siasatan, ekoran keunikan kes tersebut.
[TERKINI] Polis rakam keterangan empat individu, jenazah bayi dalam peti sejuk
Polis merakam keterangan empat individu pada Jumaat, berhubung kes jenazah bayi lelaki disimpan dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Klang.
AWANI Ringkas: Spekulasi Tengku Zafrul tinggalkan UMNO
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Karnival M6 jambatani komuniti e-sukan dengan khalayak umum
Sempena Kejohanan Antarabangsa Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) M6 di mana Malaysia menjadi tuan rumah buat kali kedua.
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Dua wakil Astro terima anugerah kewartawanan pada Nambikkai Star Icon Awards
Wartawan Astro AWANI, Umavathi Ramayah dipilih sebagai pemenang Anugerah Juri bagi kategori Wartawan Terbaik manakala Mahendran Veluplay dari Astro Seithigal memenangi kategori Pembaca Berita Popular.
Astro AWANI terima anugerah Masterclass in News Broadcasting and Journalism
Astro AWANI Network Sdn Bhd menerima pengiktirafan berprestij pada Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MEBA) 2024 edisi kelapan, pada Sabtu.
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
'Allahyarham S. Atan luar biasa, saya sendiri cemburu' - M. Nasir
Datuk M Nasir turut mengakui, beliau sendiri mungkin tidak dapat menyamai kebolehan S Atan dalam penghasilan karya tertentu.
ASA 2024: Astro AWANI ungguli empat kategori
Astro membawa pulang 13 anugerah pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA 2024) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Sabtu.
All Access to Rossa 25 Shining Years: 'Ini masa saya kongsi pengalaman hidup'
Rossa dedah perjalanan hidup dalam 'All Access to Rossa 25 Shining Years' termasuk perihal rumah tangga yang musnah di tengah jalan.
Fahmi ucap takziah atas pemergian Editor Video Astro AWANI
Fahmi mendoakan agar seluruh keluarga dan sahabat handai tabah dengan pemergian Allahyarham.
Azam Baki sahkan SPRM geledah 'safe house' ahli politik, temui mata wang asing RM5 juta
SPRM menemui sejumlah mata wang asing bernilai RM5 juta ketika menggeledah sebuah pangsapuri di ibu kota yang dipercayai dijadikan safe house seorang ahli politik berpengaruh.
Fattah Amin kalahkan Nabil dalam acara Run Challenge, bawa pulang hadiah RM1,000
Penyertaan Fattah dalam acara larian ini tidak dirancang, tetapi diterima atas permintaan ramai pendengar dan sambutan baik daripada Fattah sendiri.